PASIR SALAK 3 Julai – Tiga beranak ini hanya mampu berdoa kepada Allah kerana tiada siapa pun yang peduli dengan kesempitan hidup mereka yang terpaksa berteduh di bawah sebuah pondok kecil di Kampung Parit 3A, Sungai Manik dekat sini.
Lebih menyedihkan, pondok kayu tersebut yang sempit dan persis reban ayam, tidak disambungkan dengan sebarang bekalan air mahupun elektrik.
Namun itulah kediaman baharu menjadi tempat berteduh buat Sabri Mat Terang, 87, yang menghidap penyakit paru-paru berair dan tinggal bersama isteri, Asiah Othman, 55, dan seorang anaknya lelaki, Mohd. Hairuddin, 26, yang tidak sihat.
Warga emas tersebut yang hanya melakukan kerja kampung berkata, dia membina pondok kecil berkenaan di belakang tapak rumahnya yang kini sudah roboh dan tidak selamat untuk diduduki sejak dua bulan lalu.
“Keadaan rumah yang diduduki sebelum ini amat membimbangkan kerana tiangnya sudah reput dan papannya dimakan anai-anai, selain atap juga bocor.
“Jadi, biarlah pondok ini sempit dan rupanya seperti reban ayam atau kandang kambing sekalipun, asalkan kami tidak risau apabila hujan lebat atau ribut kerana selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu Asiah berkata, mereka sekeluarga sememangnya berhasrat untuk tinggal di kediaman yang lebih selesa pada suatu hari nanti, namun ia ibarat hanya angan-angan kerana mereka tidak berkemampuan.
Namun katanya, dia menerima dugaan Ilahi walaupun mengakui berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
“Saya pernah mengadukan masalah keluarga saya kepada pihak tertentu dan mereka datang dengan rombongan, ambil gambar sana sini, tetapi tiada kata putus.
“Kalau ada yang tidak percayakan tentang keadaan kami ini, boleh datang sendiri melihat dan menyiasat sama ada benar atau tidak. Saya amat berharap bantuan mana-mana pihak sama ada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang pemurah,” katanya.











