KUALA LUMPUR 2 Julai – Barisan kepemimpinan UMNO diingatkan supaya tidak cuba ‘mengkorporatkan’ parti itu dengan lagak seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Sebaliknya, bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menggesa supaya parti itu segera membuang cara lama pentadbiran dan memperbaiki corak berorganisasi.
Beliau juga menyeru kepemimpinan parti mula ‘menyerang’ dan bukannya berada dalam mod bertahan, berkhayal, seolah-olah masih lagi menteri atau menteri besar.
“Kembali ke medan juang, bukannya berpusat di ibu negara dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Segera bantu dan perkasa bahagian kerana di situ kawasan pilihan raya, bantu selesaikan masalah, di situ lukanya, di situlah rawatannya.
“Jangan kekalkan cara lama, panglima besar semua kena turun ke medan, jangan cuba korporatkan UMNO dengan lagak Ketua Pegawai Operasi (COO) atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Kita gerakkan politik pembangkang, bertindak sebagai satu pasukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada pemilihan parti Sabtu lalu, Annuar bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO tewas kepada pencabarnya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ketereh itu menegur kepemimpinan serta ahli supaya kurangkan bercakap keburukan parti di khalayak atau media kerana tidak akan membantu walaupun niatnya baik.
Katanya, publisiti adalah baik tetapi terlalu banyak publisiti boleh membunuh parti.
“Kita masih beroperasi seolah-olah kita parti kerajaan. Ubahlah, penyusunan strategi perlu senyap dan tidak diketahui musuh.
“Kurangkanlah bercakaran, cukup-cukuplah, mengutuk diri sendiri berlebihan pun tidak baik juga. Lihat parti lain, adakah mereka setiap hari ‘bantai’ sesama sendiri?” katanya.
Sehubungan itu, Annuar menggesa kepemimpinan serta ahli UMNO supaya segera bangkit daripada tidur dan jangan terus ‘ketagihan gula’.
“Kita memilih dan berebut untuk jadi panglima, tetapi jangan pula tiada keris di pinggang, bersilat siang malam tetapi keris tidak menikam,” tegas beliau.











