SEREMBAN 2 Julai – Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah perlu mengemukakan bukti jika benar wujudnya amalan politik wang dalam pemilihan UMNO baru-baru ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bukti itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti melakukan perbuatan tersebut.
“Itu saya tidak tahu (wujudnya politik wang). Kalau beliau ada bukti, saya sarankan kemukakan buktinya agar tindakan dapat diambil.
“Tidak usahlah cakap sahaja, jika benar ada bukti, buat laporan dan pastikan tindakan mesti diambil sebab kita tidak mahu anasir tidak sihat seperti ini terus berleluasa,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan (Khas) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan, Tengku Razaleigh mendakwa pemilihan pemimpin tertinggi UMNO yang berlangsung Sabtu lalu dicemari dengan amalan politik wang dan turut mendapat khabar banyak wang telah digunakan.
Pada pemilihan parti tersebut, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Presiden dengan 99 undi, manakala Khairy Jamaluddin memperoleh 61 undi dan Tengku Razaleigh mendapat 30 undi.
Sebelum pemilihan berlangsung, Tengku Razaleigh berjanji untuk menghapuskan politik wang dalam UMNO.
Dalam pada itu, Mohamad turut meminta ahli UMNO untuk berlapang dada menerima keputusan pemilihan tersebut seterusnya kembali bersatu padu bagi memperkasakan dasar yang dibuat.











