KUALA LUMPUR 2 Julai – Pasaran saham ditutup rendah petang ini, setelah susut 6.45 mata ke paras 1,685.05 mata di sebalik pelantikan penuh Kabinet kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan 13 menteri lagi mengangkat sumpah pagi tadi.
![]() |
|
NAZARRY ROSLI
|
Ia menyaksikan 341 kaunter naik manakala 505 kaunter jatuh dan 378 kaunter tidak berubah.
Ringgit pula ditutup pada RM4.0380 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) petang ini. Jumaat lalu, pasaran wang ditutup pada RM4.0360 berbanding dolar AS setelah mencecah RM4.0430 pada Khamis.
Penganalisis pasaran saham, Nazarry Rosli berkata, indeks petunjuk FBM KLCI ditutup rendah pada hari ini berbanding minggu lalu, namun kejatuhannya adalah lebih kecil berbanding dengan kejatuhan pada indeks-indeks pasaran lain di serantau Asia.
Katanya, pasaran saham berharap jentera pentadbiran baharu akan dapat membantu usaha-usaha menaikkan ekonomi negara dan menjangkakan ia dilakukan dengan baik sekali gus menaikkan semula pasaran saham.
“Ini dilihat sebagai kesan positif ke atas perlantikan Kabinet baharu. Kita berharap pelantikan hari ini dapat memperkasa jentera pentadbiran negara dan membantu dalam usaha meningkatkan ekonomi negara secara keseluruhannya terutama bagi menangani isu-isu semasa global.
“Bagaimanapun, perang dagangan antara AS dan China masih menjadi faktor utama kepada tekanan pasaran saham di serata dunia selain daripada faktor isu pinjaman kredit di negara-negara membangun termasuk Malaysia,” katanya yang juga broker saham berdaftar dan bekas pengarah di sebuah firma perunding saham kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kerajaan Pakatan Harapan kini mempunyai keseluruhan 25 kementerian yang dianggotai 26 orang menteri setelah 13 menteri mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara. Sebanyak 13 menteri telah mengangkat sumpah pada 21 Mei lalu. Turut dilantik hari ini ialah 23 orang timbalan menteri.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, pasaran saham ketika ini menerima tekanan daripada faktor luaran dengan sebarang berita positif hanya memberi kesan yang sangat terbatas.
Dalam dagangan tengah hari, indeks FBM KLCI jatuh 0.47 peratus, selepas data terkini menunjukkan keadaan perniagaan merentasi sektor pembuatan Malaysia merosot walaupun pada kadar yang lebih perlahan sepanjang Jun.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang dikeluarkan pagi tadi juga menunjukkan ia berada di bawah penanda aras 50 mata pada Jun tetapi meningkat daripada 47.6 mata pada Mei kepada 49.5 mata.
Menurut Reuters, pasaran saham Asia menerima tekanan daripada kerugian dalam pasaran China manakala mata wang Mexico, peso pula semakin mengukuh didorong oleh kemenangan presiden parti pimpinan Andres Manuel Lopez Obrador.
Bagi kalangan peniaga, kemenangan tersebut dilihat meringankan sedikit ketidaktentuan politik, tetapi Obrador dijangka menyuntik semangat nasionalisme dalam kerajaan pimpinannya dan memperhalusi hubungannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Sementara itu, Affin Hwang Capital berkata, indeks FBM KLCI melonjak 25.82 mata, mengakhiri minggu lalu dengan positif dan ia dijangka meningkat dalam tempoh terdekat.
Dalam sorotan bulanan Mei yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) Jumaat lalu, mendapati pasaran kewangan domestik mengalami tekanan jualan daripada bukan pemastautin disebabkan oleh faktor dalam dan luar negeri.
Menurut BNM, aliran keluar ini disebabkan terutamanya oleh sentimen penghindaran risiko (risk-off) dalam pasaran serantau yang berpunca daripada jangkaan kenaikan kadar faedah yang lebih cepat oleh Rizab Persekutuan AS menjadikan dolar AS lebih kukuh dan ketegangan perdagangan yang berterusan.
“Di dalam negeri pula, pelabur terus dengan sentimen berhati-hati kerana menunggu pendirian dasar yang lebih jelas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14. Kesannya, FBM KLCI merosot 6.9 peratus pada Mei, berikutan ketidakpastian yang telah menjejaskan terutamanya sektor pembinaan,” katanya.












