KUALA LUMPUR 2 Julai – Pertumbuhan keuntungan bersih sektor perbankan pada separuh kedua 2018 dijangka agak lembap akibat perubahan polisi selepas pembentukan kerajaan baharu pada pilihan raya umum Mei lalu.
Menurut CIMB Equities Research, segmen pinjaman hanya merekodkan pertumbuhan 0.1 peratus kepada 4.9 peratus pada akhir Mei tahun ini berbanding 4.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Katanya, unjuran pertumbuhan pinjaman pada kadar empat hingga lima peratus dijangka kekal pada tahun 2018.
“Kami menjangkakan ia (pertumbuhan pinjaman) akan bertambah baik dalam tempoh beberapa bulan akan datang sehingga Ogos susulan penguatkuasaan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang memacu perbelanjaan pengguna dan jualan kenderaan.
“Bagaimanapun, kami percaya pertumbuhan pinjaman akan menyusut bermula September dan bulan-bulan seterusnya selepas pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) disebabkan permintaan bagi pinjaman perniagaan yang lemah,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
Firma berkenaan turut mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap saham perbankan berikutan pertumbuhan yang lemah dalam segmen pinjaman.
“Statistik pada Mei sedikit negatif susulan permohonan dan kelulusan pinjaman yang lemah serta penyusutan margin dalam kualiti aset.
“Kami mengekalkan unjuran ‘neutral’ terhadap bank disebabkan beberapa kebimbangan iaitu pertumbuhan pinjaman yang lemah biarpun dijangka meningkat pada Jun hingga Ogos dan margin yang lebih rendah pada separuh kedua 2018 serta jangkaan pertumbuhan keuntungan bersih yang lemah pada separuh kedua tahun ini,” jelasnya.
Sementara itu Affin Hwang Capital dalam nota kajian turut mengekalkan unjuran pertumbuhan pembiayaan pada kadar lima peratus tahun ini.











