KUALA LUMPUR 2 Julai – Maybank akan membayar dividen akhir sebanyak RM3.5 bilion pada Jumaat ini selepas lembaga pengarah membuat keputusan untuk membatalkan pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP) Ke-16 berikutan pasaran ekuiti semasa yang lemah yang telah menjejaskan harga sahamnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, keputusan itu diambil berdasarkan pertimbangan teliti dengan mengambil kira kepentingan pemegang saham serta keperluan modal semasa Kumpulan.
Menurut beliau, harga pasaran semasa saham Maybank adalah lebih rendah sepanjang pemilihan DRP dari 11 Jun hingga 26 Jun lalu berbanding harga saham baharu yang diterbitkan untuk DRP pada RM10 seunit.
“Lembaga pengarah berpandangan bahawa dividen tunai penuh akan memberikan nilai yang lebih baik kepada pemegang saham buat masa ini.
“Keputusan ini juga selaras dengan misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan dengan melakukan perkara yang betul pada setiap masa termasuk berlaku adil kepada semua pemegang saham,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Farid berkata, pembatalan DRP tidak membawa apa-apa kesan material kepada prestasi Kumpulan dan struktur modal atau keperluannya, terbitan modal saham, keuntungan sesaham, aset bersih sesaham, tahap hutang syarikat serta pegangan saham Maybank.
Jelasnya, Maybank masih merupakan antara bank terbaik di rantau ini dengan modal nisbah CET1 pada 13.37 peratus dan nisbah modal penuh 18.12 peratus (selepas dividen tunai akhir) pada akhir Mac 2018 yang mana berupaya untuk menyokong pembangunan dan keperluan pengawal seliaan.
“Walaupun DRP dibatalkan ia masih lagi antara aspek penting strategi Maybank untuk pengurusan modal yang cekap dan akan diteruskan secara relevan di masa hadapan kerana ia menawarkan fleksibiliti secukupnya kepada pemegang saham dan Kumpulan.
“Kami komited untuk memastikan pemberian dividen pasaran yang kompetitif untuk pemegang saham kami dengan melaksanakan perancangan strategik terhadap keperluan modal yang merupakan aspek penting untuk mencipta pertumbuhan berterusan,” katanya.
Pemegang saham akan menerima dividen tunai penuh peringkat akhir sebanyak 32 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017. Pemegang saham yang memilih DRP dan telah membayar duti setem sebanyak RM10 akan mendapat pembayaran balik daripada Maybank.











