KUALA LUMPUR – Penjualan asing dijangka terus menjejaskan ekuiti pasaran pesat membangun, termasuk di Malaysia, sehingga penghujung tahun ini.
Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, ini disebabkan retorik perdagangan anti-China oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump serta jangkaan lebih banyak kenaikan kadar faedah AS.
Menurutnya, kebimbangan terhadap perang perdagangan AS-China menyebabkan ketidaktentuan yang tinggi di pasaran dunia, dengan pasaran pesat membangun paling teruk terjejas selain menyaksikan perjualan berterusan.
“Kenyataan Trump akan memberi impak ke atas pasaran dunia, tambahan pula beliau ialah seorang yang tidak boleh dijangka, malah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan beliau (Trump) tidak tetap pendirian.
“Oleh itu, saya menjangkakan penjualan tersebut berterusan, namun tidak sebanyak ketika ia mencatatkan paras tertinggi pada Mei,” katanya di sini kelmarin.
Kenyataan mengenai perdagangan oleh Trump yang berubah-ubah telah meletakkan pasaran global dalam situasi tidak menentu baru-baru ini.
Pada Khamis, Presiden AS itu kembali bertolak-ansur dan menarik balik sekatan ke atas pelaburan China selepas mengancam untuk mengenakan tarif ke atas import China ke negara itu baru-baru ini.
Pada peringkat tempatan, Teng Siew berkata, Bursa Malaysia menyaksikan catatan aliran keluar lancar paling lama iaitu selama dua bulan apabila beliau mula menyemak rekod aliran dana awal 2011.
“Penjualan asing yang lancar itu bermula pada 2 Mei 2018 dan berjumlah RM1.079 bilion setakat 28 Jun 2018 didorong, terutamanya oleh penjualan di pasaran pesat membangun,” katanya.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, pada 2018 setakat ini pengeluaran asing daripada Bursa Malaysia bukanlah paling teruk dalam kalangan pasaran pesat membangun, memandangkan terdapat berita melaporkan India mengalami aliran keluar dana asing terbesar dalam tempoh sedekad baru-baru ini. – Bernama











