KOTA BHARU 1 Jun. – Gabungan ‘ubi muda’ dan tonggak berpengalaman memastikan Perak menamatkan kemarau 14 tahun apabila menjurai kejohanan sepaktakraw, Piala Emas Khir Johari edisi ke-54.
Pada aksi final penuh dramatik yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini, petang tadi, Perak berjaya menumbangkan Terengganu 2-1.
Regu A perak yang diwakili tekong utama, Yushanif Rosli Fadzil Mustapa (perejam) dan Mohd Azwan Muhrim (apit kiri) mecatatkan kemenangan ‘straight set’ 21-11 dan 21-12 ke atas Terengganu dibarisi oleh Mohd Irsyad Ismail (tekong), Mohd Fazli Roslan (perejam) Mohamad Fakrul Razi Ismail (apit kiri).
Terengganu kembali bangkit untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1 apabila menumpaskan Perak ‘straight set’ 21-18 dan 21-10 dalam regu B.
Terengganu menurunkan regu terkuat yang diketuai tekong utama, Mohd. Zulkifli Abdul Razak, Hanafiah Dollah (perejam) dan Mohd Safaruddin Abu Bakar (apit kiri).
Untuk Regu B Perak pula, mereka menurunkan Mohd Firdaus Muhamad (tekong), Muhammad Firdaus Hamad (perejam) dan Mohamad Asyraf Abdul Hadi (apit kiri)
Pada regu penentuan, kedua-dua pasukan mempergakan aksi penuh bertenaga.
Perak menerusi regu Heppy Itam (tekong), Amirul Ramadan Fadzilah Suhaimi (perejam) dan Shahibul Fazilah Abd. Salam (apit) nyata bukan tandingan Terengganu apabila mencatat kemenangan 21-16 di set pertama dan 22-20 pada kedua.
Untuk regu penentuan Terenggu membariskan Izurin Rifin (tekong), Kamal Alfiza Shafie (perejam) dan Muzaffar Zamil (apit kiri).
Selaku juara, Perak membawa pulang piala pusingan, iringan dan medal serta wang tunai berjumlah RM20,000.
Sementara Terengganu, yang muncul naib juara meraih RM15,000 bersama piala iringan dan medal.
Kelantan selaku tuan rumah sekadar berpuashati di tempat ketiga, manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) keempat.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail. – UTUSAN ONLINE











