KLANG – Tindakan polis menahan tiga pemuda yang dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) membongkar rahsia mereka menaiki kereta curi dalam kejadian Batu 10, Pekan Kapar di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, ketiga-tiga suspek yang diberkas berusia 22 hingga 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, penangkapan tersebut hasil rondaan jenayah yang dilakukan polis yang mengesan sebuah MPV jenis Naza Citra berwarna hitam.
“Polis yang membuat pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki dalam MPV itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kereta yang dilaporkan hilang di Ampang pada 5 Jun lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Jelas beliau, semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.
Kes kini disiasat Seksyen 379A Kanun Keseksaan. -K!ONLINE











