PULAU PINANG 1 Julai – Seramai 53 pekerja asing termasuk dua wanita ditahan atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di Plaza Gurney oleh Jabatan Imigresen negeri, di sini hari ini.
Menurut jurucakap Imigresen negeri, seramai 26 daripada pekerja terbabit berasal dari Nepal, 18 dari Bangladesh, tujuh dari Myanmar manakala masing-masing satu berasal India dan Filipina.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan kerja untuk bekerja sementara di negeri ini.
Tambahnya, operasi berkala melibatkan 40 anggota Imigresen itu diketuai Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri, Khwaja Banthey Navaz Mohamed Haneef.
“Dalam operasi yang berlangsung selama kira-kira tiga jam itu, sebanyak 17 premis perniagaan diperiksa dengan 83 pemeriksaan keseluruhan dibuat terhadap pekerja asing terbabit.
“Kebanyakan daripada premis yang diperiksa adalah restoran makanan segera serta restoran yang menghidangkan masakan Cina, Korea dan Jepun,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, sebahagian besar daripada pekerja asing yang ditahan itu bekerja sebagai pelayan restoran selain di bahagian dapur.
Kesemua tahanan tersebut kemudian dibawa ke pejabat Imigresen di Seberang Jaya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c), Peraturan 39 (b) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002). -UTUSAN ONLINE











