ALOR SETAR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memberi keutamaan kepada projek-projek luar bandar yang hanya memberi impak positif kepada rakyat, kata Menterinya, Rina Mohd. Harun.
Beliau berkata, kementerian akan mengkaji semula beberapa projek yang kini tertangguh dan akan melaksanakan projek-projek yang benar-benar menguntungkan rakyat tertakluk kepada tahap kewangan semasa negara.
“Kita akan laksanakan projek yang tertangguh itu tetapi perlu lihat tahap kewangan semasa negara, namun sekiranya projek tersebut bakal memberi impak secara langsung kepada rakyat ia akan menjadi keutamaan kementerian.
“Beberapa projek juga sedang dipertimbangkan dan akan diumumkan bulan ini…akan ada berita gembira juga buat rakyat Kedah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, terdapat beberapa projek yang tertangguh bukan disebabkan kewangan sebaliknya dari segi keperluan dan kepentingan kepada rakyat. – Bernama











