PUTRAJAYA 1 Julai – UMNO akan menghantar surat rayuan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok agar sebahagian wang dalam akaun parti itu yang dibekukan dapat dilepaskan untuk tujuan pentadbiran.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, parti itu memerlukan lebih RM1 juta sebulan untuk tujuan pentadbiran termasuk pembayaran gaji kira-kira 300 orang pekerja.
“Saya berharap rayuan ini dipermudahkan. Macam mana kita nak bayar gaji pekerja jika SPRM itu tidak membenarkan kita menggunakan wang itu. Gaji pekerja ini ialah kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 seorang sebulan.
“Kita bukan mahu keluarkan semua duit, cukup benarkan untuk tujuan pentadbiran namun, kita akan akur dengan sebarang keputusan yang akan dibuat oleh suruhanjaya itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu Tengku Adnan dan isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Badan Amal Kasih Ibu Putrajaya dan pergerakan sayap-sayap UMNO Putrajaya di sini hari ini.
Difahamkan, sehingga hari ini sebanyak 900 akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dibekukan oleh SPRM termasuk akaun milik UMNO negeri dan juga pusat.
Mengulas mengenai jawatannya selaku Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan berkata, beliau bersedia untuk melepaskan jawatan itu termasuk jawatan selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.
“Terserah kepada pentadbiran baharu, saya telah berjumpa dengan Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan Timbalannya (Datuk Seri Muhamad Hassan) untuk menyatakan kerelaan melepaskan jawatan,” katanya.
Terdahulu, bekas calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin melalui laman twitternya memaklumkan beliau menolak pelawaan Ahmad Zahid agar beliau memegang jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN). – UTUSAN ONLINE











