KUALA LUMPUR 1 Julai – Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan terkejut dan kesal keputusan bekas Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin meninggalkan parti itu sekaligus menjadi Ahli Parlimen bebas.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Zahida berkata sebagai seorang yang pernah menjadi ketua dalam Puteri UMNO, Mas Ermieyati diharapkan terus bersama-sama dalam saf perjuangan UMNO.
“Amat tidak wajar jika keputusan pemilihan UMNO semalam menjadi antara faktor penyebab beliau meninggalkan parti kerana sebagai pemimpin yang mendokong amalan demokrasi kita sepatutnya akur menerima keputusan para perwakilan UMNO dengan berlapang dada.
“Dalam perjuangan setiap individu mempunyai prinsip dan ideologinya sendiri. Saya berlapang dada dalam soal ini dan mendoakan Mas Ermieyati berjaya melaksanakan tugas sebagai pemimpin yang di pilih rakyat (atas tiket UMNO/BN) di kawasannya dengan cemerlang,” kata Zahida.
Mas Emieyarti yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dalam satu kenyataan hari mengumumkan keluar daripada UMNO antara lain kerana keputusan pemilhan UMNO semalam menunjukan ahli UMNO masih dalam sindrom penafian.
Sementara itu, Zahida berkata, Puteri UMNO akan terus melaksanakan perubahan, merapatkan saf dan terus yakin pada wadah perjuangan UMNO.
Beliau sebagai ketua sayap Puteri UMNO yang baru turut mengajak semua ahli terus istiqomah, tetapkan pendirian, teruskan perjuangan dan bangkit bersama-sama memperkukuh parti serta kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO.











