LONDON – Juara 2010, Sepanyol perlu mengatasi Rusia dan rekod buruknya ketika bertemu setiap tuan rumah Piala Dunia apabila kedua-duanya akan turun berentap di Stadium Luzhniki malam ini bagi merebut tempat ke saingan suku akhir Piala Dunia 2018 FIFA.
Sepanyol telah bertemu lapan tuan rumah dalam kejohanan besar dan mereka tewas setiap kali dalam perlawanan itu, satu rekod yang menakjubkan bagi pasukan yang pernah menjuarai Piala Dunia dan dua Kejuaraan Euro berturut-turut.
Jurulatihnya, Fernando Hierro sendiri pernah beraksi dalam dua perlawanan tersebut iaitu ketika menentang England pada 1996 dan juga pada penampilan terakhirnya di Korea Selatan pada 2002.
Hierro bagaimanapun enggan memikirkan tentang rekod tersebut dan bekas katen Real Madrid itu menegaskan badi itu akan terhapus dalam perlawanan malam ini.
“Statistik dicipta untuk dipecahkan. Kenapa kita masih memandang ke belakang sedangkan kami telah memasuki perlawanan keempat Piala Dunia?
“Semuanya adalah mengenai pertemuan esok (malam ini). Apa yang telah berlaku adalah perkara yang sudah lepas,” jelas Hierro dalam sidang media.
Hierro, 50, dilantik sebagai pengendali sementara bagi menggantikan Julen Lopetegui yang dipecat dua hari sebelum Sepanyol memulakan kempen di Rusia ini selepas mendedahkan dia akan menyertai Real Madrid selepas Piala Dunia.
Memiliki pengalaman jurulatih yang terhad, Hierro dilihat sebagai pilihan paling selamat meskipun masih menurunkan pemain yang bergelut dengan prestasi seperti David Silva dan penjaga gol Manchester united, David de Gea.
“Dalam bola sepak, kami bermain dengan 11 orang dan bukan bergantung kepada seorang pemain sahaj,” jawabnya ringkas mengenai perkara ini.
Prestasi Sepanyol ketika ini masih kurang menyerlah bagi sebuah pasukan yang memiliki ramai pemain berkelas dunia. Mereka seri 3-3 dengan Portugal, menang tipis ke atas Iran dan dikejutkan dengan seri oleh Maghribi.
Perancangm Silva berkata: “Saya sudah berada dalam pasukan ini sejak 12 tahun dan saya sudah lali dengan kritikan.
“Kami bermain dengan baik pada perlawanan pertama dan kedua. Apa pun saingan kumpulan ini sangat sukar dan Portugal juga bergelut.
“Kami hanya perlu bermain dan ubah persepsi orang,” ujarnya. – Agensi











