KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak hari ini mula menguatkuasakan undang-undang negeri bagi aktiviti minyak dan gas termasuk Ordinan Pengagihan Gas 2016 seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 6 Mac lalu.
Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan berkata, peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Ordinan pelesenan telah diluluskan Kerajaan negeri dan proses pindaannya segera dimulakan.
“Bagi undang-undang negeri yang sudah berkuat-kuasa seperti Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Kanun Tanah 1958, Pihak Berkuasa Negeri yang berkaitan juga memulakan proses dalam memastikan pematuhan undang-undang termasuk mengumpulkan maklumat daripada semua pemain industri.
“Ini termasuk dengan penglibatan lebih terperinci dan komprehensif daripada pemain-pemain industri berkaitan,” kata Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan sama, kerajaan negeri menyedari proses itu mengambil masa tetapi membenarkan pemain-pemain industri untuk menjalankan perniagaan dan operasi mereka selewat-lewatnya sehingga akhir tahun 2019 serta mengambil langkah-langkah bertepatan dengan pematuhan undang-undang negeri. – K! ONLINE










