Tiada yang kalah, Ku Li, Khairy tetap diperlukan - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Tiada yang kalah, Ku Li, Khairy tetap diperlukan – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Julai – Presiden UMNO yang baru dipilih, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada yang kalah dalam pemilihan parti itu semalam termasuk bagi jawatan Presiden parti.

Malah beliau menegaskan, dua lagi calon bagi jawatan nombor satu itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin tetap diperlukan di dalam meniupkan semula roh baharu UMNO.

“Mereka adalah pemimpin yang diiktiraf sumbangan mereka. Pelawaan saya terus terbuka untuk mereka bersama-sama kepimpinan baharu bagi menterjemahkan pembaharuan UMNO.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan kerana telah menunaikan tanggungjawab dengan tertib dan teratur dalam pemilihan UMNO kali ini,” katanya dalam kenyataan pertama selepas diumumkan pemenang dalam pemilihan jawatan Presiden UMNO semalam.

Dalam pemilihan itu, Ahmad Zahid menerima 78 undi, Khairy (58) dan Tengku Razaleigh 28 undi.

Ahmad Zahid berkata, sesungguhnya pemilihan yang lancar ini adalah manifestasi ahli UMNO kasihkan parti serta mahu ia terus bangkit untuk relevan dalam pentas politik tanah air.

“Kita sudah bergerak merakyatkan UMNO. Bagi yang menyokong saya, jutaan terima kasih diucapkan dan tahniah juga kepada semua calon yang mengambil bahagian dalam pemilihan ini. Inilah kebebasan yang kita akan julang selama-lamanya.

“Inilah proses demokrasi yang dituntut oleh semua ahli, dan kita berjaya mengharunginya. Ini bukan kemenangan individu tetapi kemenangan kita semua, kemenangan UMNO dan ahli parti,” katanya.

Ahmad Zahid menambah, pemilihan terbuka ini memaparkan UMNO sudah melalui satu proses bersejarah untuk memilih semua jawatan di pelbagai peringkat termasuk di cawangan dan bahagian.

“Marilah kita merapatkan barisan dan bersama-sama berusaha menjadikan UMNO sebuah parti yang membela kepentingan rakyat.

“Rakyat amat mengharapkan UMNO terus memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

“Percayalah, ini simbol penyatuan kita dan ahli yang ada sekarang adalah orang UMNO. Kita akan terus bergerak seiring dan sejalan,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, dia akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi secepat mungkin untuk membincangkan pendekatan yang diambil dalam manifesto semua calon presiden. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×