KOTA KINABALU 23 Ogos – Tiada tarikh lanjutan diberikan kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk hadir mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei lalu.
![]() |
|
Datuk Syed Abas Syed Ali
|
Demikian pendirian Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Syed Abas Syed Ali yang menetapkan 11 September depan sebagai tarikh akhir bagi Musa untuk mengangkat sumpah sebelum kerusi DUN itu diisytihar kosong.
Katanya, Musa tidak boleh bertangguh lagi dan perlu segera menyempurnakan proses angkat sumpah sebelum tarikh berkenaan
Berita berkaitan:
“Biarpun sebelum ini diperkatakan beliau (Musa) memohon untuk menangguhkan tempoh angkat sumpah tetapi, undang-undang wajib dipatuhi.
“Lagipun arahan mengangkat sumpah dalam tempoh tiga bulan adalah selaras dengan Perlembangaan negeri Sabah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Abas memberitahu, tiada sebarang keistimewaan akan diberikan kepada bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu meskipun beliau didakwa masih menerima rawatan kesihatan.
“Musa kini sudah kembali ke Malaysia dan beliau boleh hadir pada bila-bila masa untuk mengangkat sumpah sebelum 11 September atau diawalkan memandangkan pada tarikh tersebut merupakan cuti umum sambutan Maal Hijrah,” jelasnya.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu, Musa menang di kerusi DUN Sungai Sibuga dan diberi tempoh sehingga 11 September depan untuk mengangkat sumpah jika tidak kemenangannya terbatal.
Selain masih gagal mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat, beliau turut diburu polis bagi membantu siasatan berhubung laporan polis membabitkan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. – UTUSAN ONLINE












