KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akur dengan kemenangan selesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dipilih sebagai Presiden UMNO yang baharu bagi penggal 2018-2021.
Beliau yang turut bertanding untuk jawatan itu turut meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap barisan kepimpinan UMNO yang baharu dan berupaya mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat kepada perjuangan parti keramat itu.
“Saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Insya-Allah barisan kepimpinan UMNO yang baharu boleh kembalikan keyakinan rakyat kepada parti kita. Lakukanlah perubahan yang total. Buktikan UMNO mampu berubah ke arah yang lebih baik.
“Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid atas kemenangan beliau yang menjadi pilihan majoriti perwakilan UMNO untuk diangkat sebagai Presiden UMNO yang baharu bagi menerajui parti ini untuk penggal seterusnya.
“Kepimpinan tertinggi UMNO yang baharu di bawah teraju Datuk Seri Ahmad Zahid pasti mampu mengembalikan keyakinan rakyat dan seterusnya melakukan perubahan secara besar-besaran untuk masa depan parti ke arah lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan di laman Twitter miliknya di sini semalam.
Menurut Khairy, beliau menganggap kesanggupan Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden sebagai bukti perjuangan tokoh negarawan itu yang tetap utuh demi UMNO.
“Tengku Razaleigh menunjukkan beliau amat sayangkan parti dan meskipun kami berdua tewas keputusan ini tetap diterima dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh perwakilan UMNO kerana berjaya meraikan unsur demokrasi dan keterbukaan yang julung-julung kalinya dibawa pada pemilihan parti ini,”
“Saya akan terus menjalankan tugas saya selaku Ahli Parlimen dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau untuk mengukuhkan parti dan mendekati UMNO dengan hati rakyat,” katanya.











