NIZHNY NOVGOROD – Croatia dilihat memiliki kelebihan berbanding Denmark berdasarkan rekod di pentas Piala Dunia apabila kedua-dua pasukan dijadualkan turun beraksi bagi merebut slot ke saingan suku akhir awal pagi esok.
Beraksi di Stadium Nizhny Novgorad, Croatia pastinya mempunyai kenangan manis apabila berjaya menumbangkan Argentina 3-0 pada aksi peringkat kumpulan lalu selain mencatat kemenangan bersih sepanjang kempen itu apabila turut menewaskan Iceland dan Nigeria untuk meraih mata maksimum.
Kejayaan demi kejayaan yang dilakar itu menyaksikan Croatia kini cukup bermotivasi dan yakin mampu mengulangi pencapaian terbaik mara ke saingan separuh akhir dan muncul sebagai pemenang tempat ketiga pada edisi 1998 di Perancis.
“Saya berumur sembilan tahun ketika itu apabila terdengar ibu saya menjerit meraikan kemenangan Croatia menerusi televisyen.
“Kami mampu untuk mengulangi pencapaian itu atau melakukan suatu yang lebih baik tetapi ia memerlukan sedikit tuah. Kami perlu berdepan Denmark pada aksi kali ini dan mereka bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk ditentang,” kata pemain pertahanan Croatia, Dejan Lovren.
Bagaimanapun, Lovren mengakui prestasi cemerlang yang dipamerkan dua tonggak utama di bahagian tengah, Luka Modric dan Ivan Rakitic memberikan kelebihan kepada pasukan itu untuk membenam cabaran Denmark dan mara ke saingan suku akhir.
Jelasnya, kehadiran dua pemain bintang itu mampu membantu dan membimbing pemain muda seperti Ante Rebic, Mateo Kovacic dan Marcelo Brozovic mempamerkan potensi sebenar mereka biarpun kesemua mereka beraksi di liga utama Eropah ketika ini. – Agensi











