MOSCOW – Bekas jurulatih England, Sven-Goran Eriksson percaya bahawa England sebenarnya silap percaturan sekiranya mereka merasakan menduduki tangga kedua kumpulan membolehkan mereka meneruskan kemaraan dengan laluan mudah.
Ramai pihak yang melihat kekalahan kepada Belgium pada aksi terakhir mampu membantu England tetapi Eriksson berkata, skuad bimbingan Gareth Southgate memiliki kelebihan untuk menewaskan Brazil berbanding Sweden di peringkat suku akhir jika berjaya menumbangkan Colombia di saingan 16 pasukan terbaik.
“Saya sangat terkejut kerana ramai pihak yang gembira dengan situasi England ketika ini. Mereka menganggap kejayaan mengelak bertemu Brazil mampu membawa England lebih jauh pada saingan kali ini.
“Dalam tempoh 30 tahun terakhir, berapa kali England berjaya menewaskan Sweden? Saya fikir tidak banyak, mungkin hanya dua kali sahaja.
“Pada pendapat saya, England mungkin lebih mudah menundukkan Brazil berbanding Sweden kerana mereka kini sebuah pasukan yang agak kuat dan kental untuk ditumbangkan.
“Penyerang mereka mampu untuk turun bertahan dan kemampuan di benteng pertahanan Sweden sangat sempurna ketika ini.
“Ketika saya mengemudi England, kami hanya menang sekali bertemu Sweden dan selebihnya perlawanan berakhir dengan keputusan seri. Sebelum ini juga, England hanya mampu menewaskan Sweden dalam perlawanan besar sahaja,” katanya yang percaya Sweden mampu melepasi halangan Switzerland di saingan pusingan 16 pasukan terbaik.
Jurulatih berusia 70 tahun itu juga memberikan pandangan bahawa England mampu mengecewakan Colombia jika menurunkan Marcus Rashford bergandingan bersama Harry Kane berbanding meletakkan Raheem Sterling.
“Saya menjangkakan England mampu menewaskan Colombia. Mereka hanya perlu beraksi 90 minit tanpa berlanjutan kepada penentuan sepakan penalti tetapi kunci utamanya adalah barisan pertahanan.
“Jangan buka peluang kepada Colombia kerana mereka memiliki pemain seperti Juan Cuadrado yang mampu menewaskan pemain pertahanan dalam situasi satu lawan satu.
“Rashford membuktikan bahawa dia memiliki kemampuan untuk mengubah nasib pasukan. Dia sangat pantas dan memiliki teknik yang baik serta memiliki kemampuan menjaringkan gol,” jelasnya. – Reuters











