RIYADH – Kerajaan Arab Saudi menyasarkan perjalanan haji dan umrah yang lebih selesa tanpa sebarang kegusaran apabila pengendalian jemaah umrah dan haji yang dijangka mencecah 4.5 juta orang pada 2030 dilakukan secara elektronik sepenuhnya, kata Menteri Haji dan Umrah, Dr. Mohammed Saleh bin Taher Benten.
Sambil menegaskan keazaman kerajaan negara itu untuk memudahkan jemaah mendapat perkhidmatan sebaik mungkin dalam bidang kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan tempat tinggal, beliau berkata, ini selari dengan Visi 2030 Arab Saudi yang diperkenalkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
“Apa yang anda ingin capai adalah dengan mudah alih kerana ia mempunyai semua aplikasi teknikal. Menjelang 2030, semua perkhidmatan haji akan dikendalikan secara elektronik sepenuhnya. Penggunaan teknologi akan diperhatikan semasa musim haji tahun ini menggunakan teknologi komunikasi dan menghubungkannya dengan teknologi pintar untuk menyelaras jemaah haji,” katanya.
Dr, Mohammed Saleh berkata demikian kepada 11 editor dari Malaysia, Pakistan, Senegal, Indonesia, Turki dan Sudan yang membuat liputan persiapan musim haji di Tanah Suci.
“Kami telah membuat perkembangan yang berkesan dalam memperkukuhkan kemudahan dan perkhidmatan yang menelan belanja AS$30 bilion (RM121.7 bilion) bagi menampung peningkatan jumlah jemaah setiap tahun. Setiap tahun kami menerima 30 juta jemaah haji dan umrah,” katanya.
Pembangunan itu antara lain, katanya ialah projek Kereta Api Laju Haramain yang meliputi kota suci Mekah, Madinah dan Jeddah. Ia merupakan perkhidmatan pengangkutan terbesar bagi jemaah yang dijangka beroperasi September ini di samping rangkaian jalan raya, bas dan pengangkutan lainnya.
Projek kereta api itu merupakan yang terbesar di dunia Arab, mempunyai kelajuan 300 kilometer sejam dan berharga AS$16 bilion (RM64.9 bilion) serta dijangka mengendalikan enam juta penumpang setahun. – Bernama











