Tidak rela sejarah negara diubah - Utusan Malaysia

Tidak rela sejarah negara diubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Julai – Jangan sesekali mem­­benarkan sebarang gerakan­ atau rancangan un­tuk­ menulis semula­ sejarah dengan me­ng­iktiraf perjuangan komunis!.

Demikian tegas bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Bagi mereka, per­jua­ngan bersenjata ko­­mu­­nis yang telah meragut 12,000 nyawa rak­yat tanpa me­ngira kaum terutama anggota keselamatan ti­dak boleh dimaafkan sama sekali, apatah lagi ma­hu diangkat sebagai pejuang dalam sejarah negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Mohd. Anwar, kekejaman komunis jelas menjadi penyebab kepada tercetusnya zaman darurat di Tanah Melayu yang bermula pada tahun 1948 dan kebangkitan semula komunis pada tahun 1968 yang cuba mengan­cam keselamatan negara.

Justeru katanya, ti­dak ada sebab untuk­ pihak kerajaan me­­ngu­bah sejarah tersebut, apatah lagi mengiktiraf pengganas komunis sebagai pejuang kemer­dekaan.

“Apa yang harus ditekankan ialah komunis telah pun meletakkan senjata dan mengaku kalah pada tahun 1989 tetapi setakat ini masih ramai veteran tentera yang tercedera semasa darurat dan terus melang­sungkan hidup mereka dan berjuang untuk tidak mengiktiraf perjuangan komunis.

“Sebagai Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), saya tidak rela sebarang rancangan untuk me­ngubah fakta yang bersabit sejarah komunis semasa darurat pertama dan darurat kedua,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas motif forum bertajuk Perlukan Kita Menulis Semula Buku Sejarah? yang dianjurkan Imagined Malaysia bagi membincangkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan sama ada pihak kerajaan perlu mengubah sejarah zaman darurat.

Sementara itu Abdul Rahim berkata, komunis tidak boleh diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan kerana gerakan itu menggunakan kekerasan melam­pau sehingga berlakunya pertumpahan darah dalam kalangan rakyat di negara ini.

Katanya, disebabkan kekejaman tersebut, sebarang gerakan yang cuba menyebarkan ideologi komunis akan diharamkan oleh kerajaan dan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kenapa mesti komunis berjuang dengan melibatkan pertumpahan darah dan nyawa rakyat, tindakan mereka meragut 11,000 hingga 12,000 orang dalam kalangan anggota tentera, anggota polis serta orang awam.

“Disebabkan itu, rakyat Malaysia tidak boleh menerima perjuangan komunis, jadi sebarang gerakan yang ingin mengubah sejarah komunis wajar diambil tindakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×