KUALA LUMPUR 29 Julai – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewujudkan badan khas bagi menyelesaikan isu perumahan Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M), Bukit Jalil di sini.
![]() |
|
ZURAIDA KAMARUDDIN
|
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, badan berkenaan akan diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Jayaselan K. Navaratnam bersama wakil pelbagai agensi kerajaan, pemaju dan penduduk.
Penubuhan itu diputuskan selepas mengambil kira aduan penduduk berhubung pelbagai masalah seperti keretakan, kebocoran dan kualiti kerja pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi.
“Saya nasihatkan kepada penghuni lain yang sudah mendapat tawaran untuk menduduki rumah ini supaya tidak berbuat demikian sehingga isu ini selesai dalam tempoh kira-kira sebulan lagi.
“Dalam tempoh itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerjaraya Malaysia (Ikram) akan membuat pemeriksaan menyeluruh kepada dua blok ini untuk melihat impak dan perkara yang tidak menepati tawaran seperti yang dikeluarkan di dalam risalah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan bersama pemaju dan penduduk serta agensi kerajaan seperti Kementerian Wilayah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat di PPA1M hari ini.
Sehingga kini, kira-kira 400 orang daripada 1,536 penghuni sudah menduduki kediaman perumahan penjawat yang dirasmikan pada 6 Februari lalu itu. – UTUSAN ONLINE












