Rapid Manjung: Kerajaan negeri bincang dengan Prasarana - Utusan Malaysia

Rapid Manjung: Kerajaan negeri bincang dengan Prasarana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 28 Julai – Kerajaan negeri akan berbincang dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu perkhidmatan bas Rapid Manjung yang akan dihentikan sementara mulai Rabu ini.

AHMAD FAIZAL AZUMU
AHMAD FAIZAL

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah cadangan tentang kajian semula laluan sedia ada supaya ia dikembangkan ke kawasan luar bandar yang mempunyai permintaan tinggi.

Katanya, pihaknya juga akan mengkaji dari segi kemampuan kerajaan negeri dalam menangani masalah itu dan permintaan penumpang terhadap perkhidmatan tersebut.

“Saya mengambil maklum tentang keresahan rakyat susulan cadangan Prasarana untuk menghentikan sementara perkhidmatan bas henti-henti Rapid Manjung menjelang 1 Ogos ini.

“Kita mendengar keresahan mereka di luar bandar yang bergantung kepada perkhidmatan ini dan akan berbincang dengan Prasarana bagi mendapatkan penyelesaian terbaik untuk semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Karnival Bahasa Melayu Sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) Piala Pengarah Pendidikan Negeri Perak 2018 di SJKC UK Ing di Sitiawan, di sini hari ini.

Menurut beliau, beberapa faktor perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat termasuk daripada aspek jumlah penumpang, jarak dan kos operasi.

Beliau memberitahu, operasi bas tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Prasarana dan mereka tidak boleh meletakkan kadar tiket yang tinggi kerana perkhidmatan itu tidak menyasarkan keuntungan yang besar.

“kita akan berbincang dengan Prasarana untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan sebarang keputusan akan dimaklumkan sebaik sahaja rundingan selesai dijalankan,” katanya.

Bas Rapid Manjung yang dilancarkan awal Mac lalu itu disediakan oleh pihak NCIA yang melibatkan dua laluan iaitu Seri Manjung ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut dan Laluan Dalam Bandar atau Manjung City Loop secara serentak dua hala.

Bagaimanapun difahamkan, sejak dua bulan lalu, perkhidmatan bas itu ke Lumut telah ditamatkan selain jumlah bas juga dikurangkan daripada 10 buah kepada lima buah sahaja. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×