Amal muafakat, elak pertembungan - Utusan Malaysia

Amal muafakat, elak pertembungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Julai – Seorang bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini menyarankan agar parti tersebut mengangkat prinsip permuafakatan di antara pemimpin bagi mengelak pertembungan yang boleh menjejaskan keharmonian parti.

Yusmadi Yusoff yang juga bekas Ahli Parlimen Balik Pulau menjelaskan, menjelang pemilihan PKR, amalan muafakat dan tolak ansur perlu ada kerana ia merupakan satu cerminan akan kebijaksanaan serta kematangan parti.


“Keadilan (PKR) mendukung demokrasi dengan menggalakkan pertandingan. Persaingan yang terlalu bersungguh-sungguh demi merebut jawatan berpotensi memecah-belahkan parti.

“Muafakat ada cara, kita berdemokrasi dengan matang demi kepentingan yang lebih besar iaitu demi rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pemilihan PKR yang akan berlangsung pada bulan hadapan terus hangat apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Namun menjadi persoalan adakah Mohamed Azmin mahu mempertahankan jawatan lamanya atau beliau mahu menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bagi jawatan Presiden PKR.

Malah sebelum ini juga timbul pelbagai desas-desus yang menyatakan wujud beberapa kem menjelang pemilihan parti tersebut.

Tambah Yusmadi, tidak keterlaluan sekiranya beliau menyatakan muafakat adalah demokrasi yang mempunyai nilai kemasyarakatan serta kemanusiaan demi kepentingan yang lebih besar dan bukan kepentingan diri dan kelompok semata mata.

“Maka adalah mustahak pemimpin kanan yang berpengalaman dalam parti bermuafakat serta bekerjasama demi mengekalkan nama baik parti.


“PKR kini berada pada landasan untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri dan wadah pelaksanaannya adalah satu petunjuk kepada masa depan Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×