Tetak isteri sedang solat, warga emas dipenjara 5 tahun - Utusan Malaysia

Tetak isteri sedang solat, warga emas dipenjara 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH 27 Julai – Akibat bertindak mengikut nafsu amarah, seorang warga emas di penjara selama lima tahun dan denda RM5,000 atau penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah menetak isterinya yang sedang solat Subuh di sebuah surau di sini, 11 Julai lalu.

Hukuman ke atas Salmi Mat Seh, 69, dijatuhkan oleh Hakim Azuar Che Yusof hari ini selepas tertuduh masih mengekalkan pengakuan bersalah yang dibuat pada 18 Julai lalu di Mahkamah Sesyen di sini. Hukuman tersebut berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 15 Julai lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Salmi didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya, Noridah Mahmud, 57, dengan menetak kepala mangsa menggunakan pisau pemotong daging pada pukul 6 pagi, 11 Julai lalu di Surau Taman Bunga Raya di sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGM), Mazeera Ra Sharifudin me­mohon hukuman anak guamnya diringankan dan sebatan diketepikan memandangkan tertuduh warga emas dan telah insaf serta berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.

Tambahnya, tertuduh yang merupakan pesara kerajaan juga mempunyai dua tanggungan iaitu isteri dan anak tirinya yang belajar di tingkatan lima.

Salwa Asmary bagaimanapun memohon hukuman se­timpal memandangkan tin­dakan itu menyebabkan mangsa yang masih dirawat di hospital mengalami trauma sehingga takut untuk bertemu dan mendengar suara tertuduh.

Selain itu, katanya, hukuman setimpal juga penting bukan sahaja bagi memberikan keinsafan kepada tertuduh tetapi menjadikan pengajaran kepada orang awam khusus­nya pasangan suami isteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×