GOMBAK – Kajian Kementerian Kesihatan mendapati 16 peratus remaja negara ini terlibat dalam kes buli, 13 peratus merokok, tujuh peratus berdepan masalah tingkah laku seksual manakala enam peratus lagi terlibat cubaan bunuh diri.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dapatan itu adalah hasil kajian Adolescent Health Survey 2017 oleh kementeriannya melibatkan remaja berumur antara 13 dan 17 tahun.
Menurutnya, kajian tersebut mendapati 10.8 peratus dalam kalangan remaja 12 hingga 13 tahun mengambil minuman beralkohol.
“Ini sepatutnya menjadi peringatan untuk kita berdepan dengan cabaran seperti ini dengan pendekatan serius,” katanya pada majlis penutup Konvensyen Promosi Kesihatan Dalam Institusi Pembelajaran (HePiLI) peringkat Kebangsaan 2018 dan Majlis Pelancaran Program Tunas Doktor Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini semalam.











