KUALA TERENGGANU 14 Julai – Badan Perhubungan UMNO negeri kini turut menyaksikan perubahan dengan tiga penyandang jawatan utama digantikan melalui pelantikan barisan kepemimpinan baharu seluruh negara yang diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengambil alih jawatan pengerusi badan itu daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang tidak lagi menyandang jawatan Ketua UMNO bahagian Kuala Nerus tetapi kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir.
Ketua UMNO bahagian Dungun, Datuk Din Adam yang juga calon Barisan Nasional bagi Parlimen Dungun dilantik sebagai Timbalan Pengerusi menggantikan bekas Ahli Parliman Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari yang meletakkan jawatan sebelum pemilihan baru-baru ini.
Ketua UMNO bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat yang juga ADUN Telemong pula dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu mengantikan tempat ADUN Jertih, Datuk Pahemi Yusof.
Sementara itu, ketika mengulas pelantikan barisan kepemimpinan, Din berkata, ini bukan kali pertama kepemimpinan parti di negeri ini diterajui oleh Naib Presiden UMNO yang dilakukan bagi membantu pengukuhkan parti.
Beliau merujuk kepada pelantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa Barisan Nasional tewas kepada Pas pada 1999 dan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 2009 ketika politik UMNO di negeri ini bergolak.
Sambil mengucapkan terima kasih atas kepercayaan pemimpin parti terhadapnya, Din mengharapkan seluruh barisan kepemimpinan UMNO disemua bahagian dan cawangan untuk bekerjasama bersamanya dan Mahdzir Khalid dalam memikul amanah dan tanggungjawab berat itu.
Menurut Din, dalam keadaan parti kehilangan kuasa di peringkat negeri dan Pusat, ini bukan masanya UMNO untuk terus berpecah, dan semua harus melupakan sebarang perbezaan untuk mengukuhkan parti serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.
“Datuk Seri Mahdzir boleh membantu memberi input dalam mencorak semangat baharu bagi kelangsungan UMNO negeri dengan pengalamannya yang panjang di peringkat negeri dan Pusat.
“Sememangnya amalan dan corak berpolitik, berorganisasi perlu diperbaharui, disesuaikan dengan tuntutan keadaan semasa untuk memacu perjuangan demi agama, bangsa dan negara,”ujarnya.-UTUSAN ONLINE.











