SEPANG 14 Julai – Sebanyak 490 jemaah haji kumpulan kedua akan berlepas ke Tanah Suci dengan menaiki pesawat Flynas pada pukul 9.15 malam ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof, jemaah tersebut dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah, Arab Saudi pada pukul 5.35 pagi esok waktu Malaysia.
Beliau berkata, untuk musim haji kali ini juga buat pertama kalinya jemaah haji dari Malaysia mendapat kemudahan pra pelepasan imigresen dari Arab Saudi.
“Menerusi kemudahan yang pertama kali diperkenalkan di dunia dan untuk jemaah haji kita, setiap jemaah tidak perlu menunggu terlalu lama untuk proses cop visa, kastam dan kesihatan.
“Semua proses ini dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Apabila mereka sampai ke Tanah Suci juga disediakan lapangan terbang khas untuk mereka. Kemudian jemaah haji tersebut akan terus dibawa menaiki bas ke hotel bersama bagasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci untuk Musim Haji 1439/2018 di Kompleks Tabung Haji (TH) Sepang di sini hari ini.
Menurut Mujahid, kumpulan haji pertama negara iaitu sebanyak 483 orang telah berlepas pada pukul 5.50 pagi hari ini dari KLIA.
Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 30,200 jemaah haji Malaysia akan dibawa ke Tanah Suci dengan menaiki 81 penerbangan. -UTUSAN ONLINE











