Bola sepak tanggung sendiri perbelanjaan - Utusan Malaysia

Bola sepak tanggung sendiri perbelanjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jun – Majlis ­Olimpik Malaysia (MOM) menolak rayuan skuad bola sepak bawah 22 tahun kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk beraksi di bawah kategori A dalam Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

Turut ditolak adalah rayuan skuad hoki wanita, selain permohonan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menambah enam pemain di bawah kategori berkenaan.

Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Abdul Azim Ahmad Zabidi berkata, keputusan itu bererti skuad bola sepak, hoki wanita dan enam pemain badminton kekal di bawah kategori B iaitu menanggung sendiri perbelanjaan dan hanya boleh menuntutnya jika meraih sebarang pingat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Yang kekal B ini kena buktikan mampu sampai tahap cemerlang. Kalau dapat pingat, kami akan bayar balik (perbelanjaan yang ditanggung persatuan).

“Turut ditolak untuk Kategori A dan kekal B ialah skuad sepak takraw wanita, bola baling, pencak silat, ragbi, kabbadi dan paragliding,” katanya yang juga Ketua Kontinjen Sukan Asia di Wisma MOM di sini hari ini.

Kata Azim, mesyuarat jawatankuasa rayuan MOM yang dipengerusikannya hari ini hanya menerima penambahan 13 lagi atlet, sekali gus menjadikan kontinjen negara ke Sukan Asia dianggotai 447 atlet.

“Olahraga turut memohon menambah atlet tetapi kami hanya luluskan seorang pegawai.

“Tiga gimnas wanita pula dinaikkan ke ka­tegori A sementara menembak kekal B dan rayuan bola baling untuk ke A ditolak.

“Bola keranjang tiga sebelah yang sebelum ini ditolak ke Sukan Asia, masuk B. Luncur angin perlu menunggu satu kejohanan di Ancol pada 27 Jun ini untuk dipertimbangkan, begitu juga inline skating dan lumba kasut roda,” katanya lagi.

Mengenai kontroversi sukan terjun yang berpesta minuman keras di Guangzhou, yang mana tiga penerjun terlibat berada dalam Program Podium, Azim menganggap isu itu selesai de­ngan permohonan maaf mereka secara terbuka semalam.

“Mereka sudah minta maaf, cukuplah apalah yang hendak diungkit-ungkit lagi. Tiada masalah untuk mereka ke Sukan Asia pun,” katanya, yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara.

Edisi ke-18 Sukan Asia akan berlangsung di Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini