WALAUPUN hanya membuat penampilan sulung Piala Dunia, Marcus Rashford berjaya memikat pengendali England, Gareth Southgate dan dijangka mengetepikan Raheem Sterling dalam kesebelasan utama menentang Panama, Ahad ini.
![]() |
|
|
Penyerang muda Manchester United itu yang masuk sebagai pemain gantian ketika England mengalahkan Tunisia 2-1 dalam aksi pembukaan, Isnin lalu dilihat mengambil alih tempat Sterling pada sesi latihan semalam.
Ia satu penghormatan buat Rashford, 20, jika diturunkan dalam barisan utama, sekali gus memberinya peluang untuk mengikuti jejak idolanya, Cristiano Ronaldo yang meledak empat gol dalam dua perlawanan buat Portugal.
“Ronaldo adalah pemain yang paling saya kagumi dalam kejohanan ini.
“ Ketika menentang Sepanyol (seri 3-3), dia amat hebat dengan meledak tiga gol. Dia menjadi inspirasi pasukannya ketika pertemuan dengan Maghribi (menang 1-0).
“Dia adalah pemain yang menaikkan motivasi saya untuk menjadi lebih hebat. Ketika latihan, saya cuba melakukan tendangan bebas yang sama seperti yang dilakukan olehnya,” ujar Rashford.
Mengimbau mengenai penglibatan awalnya dalam bola sepak, Rashford berkata, semua bermula ketika dia dan abangnya bermain bola sepak di laman rumah dan sering memecahkan kaca tingkap sehingga membuatkan ibu mereka menjerit.
“Ibu selalu menjerit. Ketika itu, saya tidak perasan ibu dan bapa saya nampak saya menendang bola ke atas bumbung rumah.
“Saya masih ingat, ayah menyuruh saya menyertai kelab remaja untuk bermain bersama rakan-rakan daripada hanya menendang bola ke arah bumbung kami. Itulah detik permulaan karier saya sebagai pemain bola sepak,” kata Rashford.
Rashford kemudian menyertai kelab Fletcher Moss Rangers, yang mana bapanya, Robert adalah jurulatih.
“Dia berusia lapan tahun ketika menyertai pusat pembangunan dan memasuki akademi pada usia sembilan tahun,” kata Robert.
Hanya sebulan selepas menyertai kelab, Rashford berjaya menunjukkan peningkatan serta bijak mengawal bola berbanding rakan sebayanya.
“Dia berlari dengan lancar dan bergaya, namun bukan itu sahaja kemampuannya. Dia juga mempunyai sikap ingin tahu dan sentiasa ada helah dan mempraktikannya jika berpeluang,” kata Robert lagi.
Memiliki gerak hati yang tajam selain kreatif membolehkan Rashford memikat pencari bakat United untuk menawarkannya tempat dalam skuad remaja kelab itu.
Begitu pun, ketika perjalanannya untuk bergelar pemain profesional seakan-akan tidak bermasalah, timbul perkara lain ketika usia Rashford 14 tahun apabila dia mengalami kesukaran dengan personaliti dan tumbesaran.
Kakinya membesar dengan cepat sehingga menyebabkan Rashford berdepan masalah koordinasi pada satu ketika.
“Ketika perkara itu berlaku dia sangat kecewa kerana tidak boleh melakukan perkara yang sepatutnya boleh dibuat. Emosinya cepat terganggu dan mudah merajuk,” cerita Robert.
Bagaimanapun, Rashford mengambil langkah proaktif dengan berlatih lebih lama untuk mengenali tubuhnya.
Dia kemudian dapat memahami bahasa badannya dengan lebih baik.











