KUALA LUMPUR 22 Jun – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang kini dalam jadual lawatan kerja rasmi ke Lebanon telah melawat UNP 2-1, Kem Marakah.
Menurut kenyataan Batalion Malaysia (Malbatt), Mohamad telah menerima tabik hormat semasa Perbarisan Menteri dan seterusnya merasmikan penyerahan sembilan buah kereta perisai Guardian kepada Malbatt.
“Acara diteruskan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Warga MALBATT 850-5 bertempat di Dewan Jun Sang, Kem Marakah.
“Pada hari yang sama, Menteri Pertahanan juga telah membuat kunjungan hormat kepada Komander Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL), Mejar Jeneral Michael Beary bertempat di Markas UNIFIL di Naqoura dan meneruskan acara sambutan hari raya di Kem Tibnin,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, semalam, Menteri Pertahanan yang diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Junaidah Kamarudin serta delegasi telah melawat kediaman Duta Besar Malaysia ke Lebanon, Mohd Aznor Mahat.
“Pada hari yang sama juga, Menteri Pertahanan telah membuat kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan Lebanon, Yacoub Riad Al Sarraf di bangunan Kementerian Pertahanan Lebanon,” katanya.










