KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia diminta meneliti semula larangan pengambilan tukang masak asing bagi mengelakkan kekurangan tenaga pekerja dalam industri tersebut pada masa akan datang.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (PRESMA), Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata, pihaknya sukar untuk mendapatkan tukang masak tempatan yang mempunyai kemahiran dalam bidang masakan jika langkah itu dilaksanakan tahun depan.
“Persoalannya, mampukah kita mendapatkan tukang masak yang mahir dalam bidang masakan yang diperlukan sekiranya kita ingin menggantikannya dengan pekerja tempatan.
“Ini adalah kerana terdapat banyak bidang masakan dan ia memerlukan ‘air tangan’ orang yang berkemahiran bagi menyediakan juadah makanan yang dikehendaki.
“Tambahan pula, kita memerlukan sekurang-kurangnya 4,000 orang tukang masak sekiranya berhasrat untuk menggantikan tenaga kerja asing itu di seluruh Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Ayoob, perkara itu menjadi lebih rumit apabila kebanyakan daripada pekerja tempatan enggan bekerja di restoran kerana menganggap pekerjaan sebagai tukang masak sebagai satu tugas yang sukar.










