JAKARTA 22 Jun – Ketua kumpulan militan, Aman Abdurrahman dihukum mati hari ini selepas didapati bersalah merancang serangan bunuh diri di kafe Starbucks di sini pada 2016.
Tertuduh, 46, yang mempunyai hubungan dengan pengganas Daesh dikawal ketat pihak polis ketika keputusan perbicaraan dibaca di mahkamah di sini.
Mahkamah sebelum ini mendapati Aman bersalah atas tuduhan merancang serangan berkenaan yang mengakibatkan empat orang terbunuh.
Hakim Akhmad Jaini memberitahu, keputusan itu dibuat selepas tertuduh terbukti melakukan perbuatan jenayah keganasan selain terlibat dalam beberapa serangan lain.
“Dia dihukum mati,’’ ujar beliau dan hukuman itu akan dilaksanakan oleh pasukan penembak.
Aman yang duduk di atas kerusi tertuduh di bahagian tengah mahkamah dilihat kelihatan bosan sepanjang prosiding berlangsung dan hampir tidak menunjukkan reaksi langsung ketika dikawal ketat oleh anggota polis yang lengkap bersenjata.
Sebaik sahaja keputusan dibacakan, tertuduh bersujud dan mencium lantai tanpa berkata apa-apa.
Peguam, Asludin Hatjani, yang mewakili Aman menyifatkan keputusan itu sebagai ‘tidak adil’ atas alasan bukti yang tidak mencukupi untuk mengaitkan anak guamnya dengan serangan tersebut.
Dalam kejadian berkenaan, pasukan tentera terpaksa bertempur dengan anggota kumpulan militan yang lengkap bersenjata berhampiran kafe tersebut ketika seorang pembunuh diri meletupkan dirinya.
Pada bulan lalu, kumpulan pendakwa raya menuntut Aman dijatuhkan hukuman mati atas penglibatannya merancang serangan itu.
Selain ketua kumpulan militan, Aman juga merupakan ketua dalam kumpulan pelampau Jamaah Ansharut Daulah (JAD).
Pihak berkuasa negara ini memberitahu, JAD terlibat dalam serangan tersebut dan beberapa serangan bunuh diri di Surabaya.
Pihak pendakwa raya masih belum mengemukakan pertuduhan terhadap Aman berhubung serangan di Surabaya. – AFP










