Mengisi hari raya dengan amalan baik - Utusan Malaysia

Mengisi hari raya dengan amalan baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK kira di mana pun kita beraya, kesederhanaan me­nyambutnya sangat penting walaupun Aidilfitri disambut setahun sekali. Apa yang penting, beraya ‘sakan’ dengan perbelanjaan yang melampau-lampau mestilah dihindari agar tidak menghadapi masalah kewangan selepas hari raya nanti.

Apalah gunanya berhabis-habisan membuat persediaan hari raya sekiranya selepas itu terpaksa pula mengikat perut atau meminjam duit di sana sini kerana wang simpanan semuanya sudah dikeluarkan. Memanglah menyambut hari raya setahun sekali, tetapi janganlah kesan perbelanjaan yang besar itu akan membawa `sengsara’ sehingga setahun lamanya.

Selepas hari raya ini, pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi akan masuk semula ke universiti atau kolej masing-masing. Anak-anak kecil juga akan ke sekolah semula, ini semuanya memerlukan perbelanjaan yang bukannya sedikit sekiranya mempunyai ramai anak.

Hakikatnya, hari raya akan lebih bermakna sekiranya di­sambut secara sederhana dalam setiap aspek tetapi meriah dengan amalan ziarah-menziarahi. Tidak kiralah berapa banyak pun wang yang dikeluarkan untuk menyambut hari raya, ia tidak membawa sebarang makna sekiranya pengisian hari raya itu tidak ada.

Justeru, pengisian hari raya mesti ditekankan bukan sahaja kepada yang orang dewasa tetapi juga kepada anak-anak. Anak-anak mesti dibimbing tentang apa yang sebenarnya perlu dilakukan ketika mereka beraya di kampung atau di bandar. Mereka tidak boleh dibiarkan menghabiskan masa dengan leka bermain gajet, menonton televisyen dan bermain mercun sahaja.

Bagi anak-anak kecil yang mendapat duit raya pula, mereka mesti ditekankan tentang peri pentingnya berjimat cermat agar wang itu dapat disimpan atau mereka didedahkan de­ngan amalan menabung. Jika sekali hari raya dapat RM100, berapa banyak wang yang diperoleh sepanjang 10 atau 15 tahun mendapat duit raya?

Justeru, ibu bapa mesti memantau duit raya anak-anak agar tidak dihabiskan dengan benda-benda atau perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Duit tersebut mungkin banyak membantu untuk perbelanjaan persekolahan atau waktu-waktu kecemasan seperti sakit dan sebagainya.

Anak-anak muda juga mestilah turut digalakkan men­­zi­a­­rahi sanak saudara dan jiran-jiran agar hubungan antara keluarga dapat diperkukuh. Ibu bapa jangan membiarkan sahaja anak-anak muda mereka beraya dengan cara mereka sendiri.

Anak-anak muda ini mesti dibawa beraya bersama keluarga ke mana sahaja termasuk ke rumah rakan ibu bapa supaya hubungan antara generasi seterusnya dapat dikekalkan. Dalam pada itu, mereka juga mesti diterangkan tentang adab-adab beraya di rumah orang, contohnya, ja­ngan asyik melihat telefon pintar.

Dalam agama pun, kita disuruh agar menziarahi rakan ibu bapa agar hubungan dapat diteruskan. Jadi, pada hari raya yang mulia ini, apa salahnya mereka ini meluangkan sedikit masa menziarahi rakan-rakan ibu bapa dan bertanyakan khabar. Amalan bermaaf-maafan sambil mengucapkan Selamat Hari Raya sangat penting sepanjang bulan Syawal ini.

Kesimpulannya, tidak kira golongan mana pun, hari raya mestilah diisi dengan amalan-amalan baik supaya sambutan hari raya bermakna bagi kita semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN