Tok Gajah tekad julang Piala FA - Utusan Malaysia

Tok Gajah tekad julang Piala FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAHANG komited memastikan jejak langkah mereka dalam aksi Piala FA musim ini akan berkesudahan di gelanggang final, sekali gus menempa nama selaku skuad juara bagi kempen edisi 2018.

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, pasukan itu tidak akan mensia-siakan peluang untuk menjulang Piala FA sejak mereka berjaya melangkah ke peringkat suku akhir lagi.

Bagi aksi separuh akhir di Kuantan malam ini, Pahang tekad tidak memberi peluang kepada kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) untuk menyekat peluang mereka ke gelanggang final.

“Apabila melepasi suku akhir, kita akan teruskan sehingga ke peringkat seterusnya (separuh akhir) dan final kerana memang matlamat kita untuk sekurang-kurang menang satu piala pada musim ini,” ujar Dollah baru-baru ini.

Sehubungan itu, Dollah menambah, setiap pemain perlu mengekalkan prestasi pada tahap terbaik sekiranya mereka benar-benar ingin meraih kejuaraan bersama pasukan tersebut pada musim ini.

“Kalau semua pemain boleh kekal dengan disiplin dan berada pada tahap prestasi terbaik, saya percaya pasukan ini mampu pergi lebih jauh,” tambah bekas pengendali skuad kebangsaan itu.

Perlawanan separuh akhir di Kuantan malam ini turut menjadi aksi penting buat tonggak tengah, Mohamadou Sumareh yang kerap menyatakan hasrat untuk menjulang piala bersama skuad Tok Gajah dikendalikan Dollah.

Menurut tonggak import dari Gambia berusia 23 tahun itu, hasrat tersebut sentiasa menjadi keutamaan sejak dia menyarung jersi Tok Gajah musim 2017.

“Penglibatan saya pada Liga Malaysia sejak 2013 tidak akan memberi apa-apa makna kalau tidak memenangi sebarang piala,” kata Sumareh.

Sebagai rekod, Sumareh mula beraksi dalam kancah Liga Premier bersama skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ketika itu dikendalikan Dollah pada musim 2013.

Selepas berjaya membantu PDRM meraih kelayakan beraksi dalam kancah Liga Super 2015, Dollah menerima tawaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Sumareh berte­rusan menerima kepercayaan daripada Dollah apabila jurulatih yang mengutamakan aspek taktikal tersebut turut membawa watak import itu menyertai Pahang bagi musim 2017 hingga kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN