NIZHNY Novgorod – Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic memuji Marcelo Brozovic dan Ivan Strinic kerana peranan mereka mematikan langkah Lionel Messi ketika kemenangan 3-0 ke atas Argentina dalam aksi Piala Dunia 2018 kelmarin.
Messi sekali lagi gagal menepati jangkaan apabila Croatia meraih kemenangan bergaya dalam perlawanan kedua Kumpulan D menerusi gol jaringan Ante Rebic, Luka Modric dan Ivan Rakitic.
Brozovic disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk bermain sebagai pemain tengah bertahan di belakang Modric dan Rakitic bagi mengurangkan impak persembahan Messi.
Taktikal itu jelas berkesan buat Dalic yang memuji persembahan bertenaga pemain tengah Inter Milan itu dan Strinic untuk aksi mereka yang berlangsung di Stadium Nizhny Novgorod.
“Kami mempunyai beberapa pilihan pemain. Ketika bertemu Nigeria, kami menggunakan seorang pemain tengah menyerang yang beraksi di hadapan Modric dan Rakitic dan kali ini saya memasukkan Brozovic untuk menyekat bola di bahagian tengah serta membantu benteng pertahanan.
“Saya tidak memerlukan masa yang lama untuk menyenaraikan Brozovic kerana itu merupakan posisinya di Inter. Dia sangat tenang dan berjaya memberikan kesukaran kepada Messi.
“Dia benar-benar bagus, sama seperti Strinic. Mereka juga turut membantu jentera serangan ketika Modric merancang permainan,” ujarnya.
Kemenangan itu menyaksikan Croatia yang meraih mata maksimum sepanjang dua perlawanan hampir pasti untuk layak ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Croatia menikmati pencapaian terbaik di pentas Piala Dunia pada 1998 di Perancis apabila menamatkan saingan di tempat ketiga. – Agensi










