BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki yang merupakan anggota geng pecah kedai berjaya ditahan ketika sedang memecah masuk sebuah kedai menjual pelbagai minuman teh di Jalan Icon City, Bukit Tengah di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sendiri oleh pemilik kedai berkenaan kira-kira pukul 1.30 pagi selepas mendapat maklumat premis
perniagaannya dipecah masuk dua lelaki.
“Lelaki itu mendapat maklumat berhubung kejadian itu berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedainya menerusi telefon bimbit sebelum bergegas ke premis berkenaan bersama seorang rakan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, semasa mereka sampai didapati ada kesan umpil di bahagian kunci pintu masuk premis berkenaan dan terdapat seorang lelaki sedang mengambil sesuatu di bahagian kaunter bayaran kedai tersebut.
Katanya, mereka terus menahan lelaki itu dan merampas wang sebanyak RM200 hasil perniagaan kedai daripadanya sebelum menghubungi polis serta menyerahkan suspek kepada pihak berkuasa. – Bernama











