NIZHNY NOVGOROD, Rusia 21 Jun – Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli mahu melupakan formasi 4-2-3-1 yang digunakan ketika seri 1-1 dengan Iceland, Sabtu lalu, sebaliknya akan bertukar kepada sistem 3-4-3 apabila menentang Croatia dalam perlawanan kedua Piala Dunia pada pukul 2 pagi ini.
Pemain sayap Boca Juniors, Cristian Pavon dijangka beraksi dalam kesebelasan utama buat kali pertama bersama Gabriel Mercado (pertahanan Sevilla) dan Marcos Acuna (penyerang Sporting CP).
Croatia yang bakal mengesahkan tiket ke peringkat 16 akhir jika berjaya mengejutkan Argentina dalam saingan Kumpulan D, bagaimanapun akan beraksi tanpa Nikola Kalinic.
Bintang penyerang AC Milan itu dihantar pulang ke tanah air selepas enggan dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Nigeria dengan alasan mengalami masalah belakang.
Croatia tidak membariskan pemain tengah bertahan ketika mengalahkan Nigeria 2-0, pengurus pasukan, Zlatko Dalic perlu membuat keputusan sama ada mahu kekal dengan strategi ‘berisiko tinggi’ itu apabila bertemu Argentina atau kembali dengan formasi biasa. – AGENSI











