MELAKA – Hajat seorang remaja perempuan untuk menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor berkecai apabila dia maut selepas motosikal jenis Honda Wave 110XS yang ditunggang bersama kakaknya terbabas di Jalan Batu Berendam di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 8.05 pagi itu mengakibatkan Faten Nursyuhadah Rahman, 20, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala manakala kakaknya pula cedera ringan.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd. Sham Abdullah berkata, dua beradik itu dalam perjalanan dari Melaka Baru untuk pulang ke rumah di Durian Tunggal.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang dua beradik itu terbabas hingga menyebabkan tiga buah kereta serta sebuah motosikal turut berlanggar kerana mahu mengelak mangsa. Mangsa maut di tempat kejadian manakala kakaknya cedera ringan,” katanya.











