ROSTOV, Rusia – Pasukan Uruguay berjaya menempah tiket ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan Arab Saudi 1-0 dalam aksi kedua Kumpulan A di Arena Rostov sebentar tadi.
Skuad kendalian Oscar Tabarez itu memulakan saingan dengan rancak dan berjaya menguji pertahanan wakil dari benua Asia menerusi gandingan berbisa Luis Suarez dan Edinson Cavani.
Suarez yang juga penyerang Barcelona berjaya memecah kebuntuan selepas menjaringkan gol hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Carlos Sanchez pada minit ke-23.
Tersentak dengan itu, Arab Saudi memperkemaskan jentera serangan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi Hattan Bahebri tetapi percubaannya melepasi palang gol.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun percubaan terbaik Uruguay gagal disudahkan oleh Sanchez pada minit ke-62.
Arab Saudi yang memerlukan sekurang-kurangnya satu mata berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyebabkan Arab Saudi sah mengikut jejak langkah Mesir dan Maghribi yang tersingkir awal di peringkat kumpulan.
Uruguay pula gah mengikuti jejak Rusia dengan menempah slot ke pusingan kalah mati sekelas negara tuan rumah itu menang bergaya 3-1 ke atas Mesir semalam. – Agensi











