MOSCOW – Ketua jurulatih Senegal, Aliou Cisse menyifatkan disiplin tinggi para pemainnya merupakan kunci utama kejayaan menewaskan Poland 2-1 pada aksi Kumpulan H Piala Dunia 2018 awal pagi kelmarin.
“Kami menang kerana meletakkan disiplin pada tahap tertinggi. Kamu boleh lihat para pemain bermain dengan semangat luar biasa serta mengikut perancangan yang diatur oleh saya.
“Setiap kali Poland melakukan kesilapan, kami akan mengambil peluang untuk menjaringkan gol. Senegal adalah pasukan yang paling menyerlah pada aksi kelmarin sehingga membolehkan kami mengawal perlawanan dengan sempurna,” ujarnya.
Pada saingan yang berlangsung di Stadium Spartak itu, Senegal yang terkenal dengan jolokan The Lions of Teranga membuka tirai jaringan gol menerusi gol sendiri oleh pemain pertahanan Poland, Thiago Cionek pada minit ke-37.
Mereka terus menggandakan asakan dan berjaya menghasilkan gol kedua hasil percubaan penyerang, M’baye Niang pada minit ke-60. Poland berjaya mendapat gol sagu hati empat minit sebelum perlawanan tamat menerusi tandukan pemain tengah, Grzegorz Krychowiak.
Senegal kini berkongsi mata dengan Jepun menerusi tiga mata dan berpeluang untuk ke aksi kalah mati sekiranya meraih satu lagi kemenangan peringkat kumpulan.
Dalam perkembangan sama, ketua pasukan Senegal, Cheikhou Kouyate mendakwa, sebelum aksi tersebut berlangsung mereka telah bekerja keras siang dan malam sehingga menyaksikan semua pemain berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya.
“Kami bekerja dengan sangat kuat. Sebab itu semua pemain turun dengan keazaman yang tinggi. Saya boleh lihat Senegal beraksi dengan tenang dan tidak kekok dengan asakan Poland.
“Saya berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan pada aksi selepas ini,” katanya. – Agensi











