MESKIPUN di atas kertas, Rusia dianggap sebagai pasukan yang paling lemah dalam sejarah bola sepak untuk menjadi tuan rumah kejohanan Piala Dunia 2018, namun negara bekas Kesatuan Soviet tersebut membuktikan tanggapan ramai pihak itu salah sama sekali.
Hadir pada kejohanan bola sepak paling berprestij di muka bumi itu dengan ranking paling rendah berbanding 31 pasukan lain selain prestasi semasa terumbang-ambing, pasukan tersebut yang pada mulanya tidak diletakkan sebarang harapan mula membuka mata lawan dan para peminat.
Setelah mengharungi dua perlawanan dengan kemenangan besar 5-0 ke atas Arab Saudi dan seterusnya membenam Mesir 3-1 awal pagi semalam, Rusia berjaya memulakan kempen sebagai tuan rumah dengan jaya sekali dalam sejarah Piala Dunia.
“Ia bukan sesuatu yang kebetulan buat kami untuk memenangi dua perlawanan berturut-turut, namun ia disebabkan solidariti dalam pasukan kami. Jadi, adakah aksi kami itu baik atau bernasib baik, kami miliki kedua-duanya,” kata jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov.
Sebelum memulakan kempen Piala Dunia, Rusia bergelut dengan prestasi apabila mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa tanpa sebarang kemenangan bahkan berada di ranking paling rendah berbanding pasukan yang bertanding pada Piala Dunia kali ini iaitu ke-70.











