KUALA LUMPUR 20 Jun – Kenytaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai status kewangan negara ini telah menyebabkan pelabur menjual saham mereka kerana kurangnya keyakinan dengan keutuhan ekonomi negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, akibatnya pelbagai agensi termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menanggung kerugian yang akhirnya turut menjejaskan rakyat.
“Ini adalah propaganda politik semata-mata, tidak untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,” katanya seperti yang dipetik menerusi Malay Mail Online dalam temubual dengan Astro Awani semalam.
Pelaburan yang dilakukan KWSP menerusi 10 syarikat tersenarai awam (PLC) mencatatkan kerugian sebanyak RM6.09 bilion setelah jatuh kepada 12 peratus dalam tempoh sebulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menurut laporan The Edge, nilai pelaburan menurun secara mendadak daripada RM51.21 bilion kepada RM45.12 bilion dalam tempoh sebulan.
Beliau yang juga calon Presiden UMNO berkata, kerajaan harus mengamal sikap terus-terang mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk membersihkan skandal kewangan dan hutang negara.
“Sebagai contoh, jika Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mencadangkan langkah-langkah diambil untuk mengukur hutang kita, ia perlu dilakukan sedemikian. Ia tidak boleh dilakukan mengikut kehendak dan keinginan kita sendiri,” katanya.
Dalam pada itu Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak akan mengenakan definisi mengenai jumlah hutang sebenar negara jika menjadi Menteri Kewangan.
Beliau yang pernah menjadi Menteri Kewangan berkata, Guan Eng telah melonggokkan segala-galanya supaya jumlah hutang negara yang ditanggung kerajaan sekarang ini berjumlah lebih RM1 trilion.
“Saya fikir ia bergantung kepada cara anda melakukannya, tetapi tidak perlu dilakukan seperti itu (mendedahkan jumlah hutang),” katanya.











