KUALA LUMPUR 20 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak akan berundur untuk membantu membawa perubahan yang diperlukan parti itu susulan kekalahan paling teruk dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.
Sambil menyifatkan dirinya sebagai paling senior yang masih berada dalam saf kepimpinan parti, Annuar berkata, beliau menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan 30 Jun ini untuk membantu pucuk pimpinan dan Presiden dalam usaha merekayasa semula UMNO sebagai satu wadah perjuangan umat Islam, kaum bumiputera dan bangsa Malaysia keseluruhannya.
“Tidak dapat tidak, merekayasa mesti melibatkan perubahan besar. Perubahan bukan sahaja pada individu tetapi semestinya melibatkan dasar, organisasi, strategi dan modus operandi parti. Saya sanggup bekerjasama dengan Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk memastikan perubahan dilakukan dengan penuh komitmen, cermat, tersusun dan bijaksana,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Annuar yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh pada PRU-14 berkata, roh dan falsafah UMNO akan terus dipertahankan, manakala pendekatan dan amalan wajib diubah.
“Konsep dan penyertaan UMNO dalam Barisan Nasional (BN) perlu disemak. Prinsip muafakat antara kaum harus diperbaharui, malah cara parti memandang ke hadapan perlu pragmatik dan meneliti pelbagai pilihan yang ada demi mencapai cita-cita membela agama, bangsa dan tanah air tercinta.
“Yang paling penting, ini boleh dicapai dengan mendapat mandat ahli secara bersama dan penuh kebijaksanaan,” katanya.
Annuar menambah, beliau sudah 31 tahun menjadi Ketua UMNO bahagian dan 28 tahun ahli MT serta seorang daripada ahli penaja UMNO (baharu) dalam membina semula parti daripada perebutan kuasa tahun 1987 di antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah.
Dalam masa yang sama beliau berkata, ketika UMNO direkayasa dan diperkasa, pintu dan jendela kepimpinannya harus dibuka luas kepada pewaris muda yang bakal meneruskan perjuangan parti. – BERNAMA











