Setelah bertahun-tahun didera fizikal dan psikologi oleh pasangan masing-masing, hampir 12 orang wanita di Barcelona, Sepanyol memberanikan diri untuk menceritakan kisah-kisah sengsara mereka menerusi foto yang dirakam oleh jurugambar Sweden, Maria Espeus.
Setelah bertahun-tahun didera fizikal dan psikologi oleh pasangan masing-masing, hampir 12 orang wanita di Barcelona, Sepanyol memberanikan diri untuk menceritakan kisah-kisah sengsara mereka menerusi foto yang dirakam oleh jurugambar Sweden, Maria Espeus.
Wanita-wanita itu bersetuju untuk berterus terang tentang perkara yang dianggap orang ramai sebagai tabu pada pameran From Darkness to Light (Dari Kegelapan kepada Cahaya) di Gothic Quarter, Barcelona demi mencabar keganasan domestik di Sepanyol.
“Biasanya kita kaitkan penderaan dengan kelas-kelas golongan bawahan tetapi pameran ini menunjukkan bahawa ia tidak semestinya,” kata Espeus yang tinggal di Barcelona sejak akhir 1970-an sambil menambah subjek-subjeknya termasuk wanita profesional muda dan tua.
“Ia melibatkan semua kelas sosial,” tambahnya.
Negara katolik itu meluluskan undang-undang keganasan domestik pada tahun 2004, sekali gus menjadikan Sepanyol lebih maju daripada segi perundangan hak wanita berbanding negara-negara Eropah lain.
Membantah
Namun ‘kemenangan’ lelaki berterusan. Pada bulan April lalu, ribuan orang awam membantah di seluruh Sepanyol selepas sebuah mahkamah melepaskan lima lelaki yang digelar The Wolf Pack iaitu kumpulan perogol yang telah memperkosa seorang remaja pada pesta larian lembu. Mereka hanya disabitkan dengan kesalahan seksual yang lebih ringan.
Menurut laporan Majlis Kehakiman Agung yang mentadbir mahkamah dan hakim, mahkamah-mahkamah di Sepanyol menerima lebih daripada 166,000 aduan keganasan jantina pada tahun 2017, naik 16 peratus daripada tahun sebelumnya.
“Proses untuk seorang wanita yang menjadi mangsa keganasan jantina untuk keluar daripada kitaran itu adalah panjang dan sukar secara psikologi,
“Wanita-wanita berani yang berjaya bebas daripada situasi ini pula dipercayai akan membantu mangsa lain yang masih berjuang untuk mendapat kekuatan,” kata seorang peguam yang turut berkhidmat dengan pertubuhan kebajikan berkait isu itu, Irene Ramirez Carrillo.
Gambar-gambar hitam dan putih di galeri itu menunjukkan wanita-wanita yang duduk atau berdiri membelakangkan latar belakang yang kosong.
Pada salah satu gambar, seorang wanita menutup mukanya dengan tangan kerana tidak sanggup melihat kamera. Terdapat juga foto wanita yang berpaling untuk menghalang wajahnya daripada disaksikan penonton.
Oleh kerana kebanyakan wanita itu berasa takut wajah mereka dirakam, studio tersebut perlu mencipta suasana yang lebih baik bagi mengusir ketakutan.
“Anda adalah seorang ahli psikologi berbanding jurugambar kerana anda perlu meyakinkan mereka untuk menjadi lebih terbuka,” kata Espeus yang berusia 69 tahun.
Namun, dalam kebanyakan foto, wanita-wanita itu menampilkan sisi gagah seorang pejuang dan tersenyum iaitu sesuatu yang amat diharapkan Espeus.
“Saya tidak mahu mereka tampil dengan rupa tidak gembira dalam foto. Saya mahu mereka mengukir senyuman,” kata jurugambar yang sudah biasa merakamkan foto daripada imigran miskin di Barcelona sehingga ke model fesyen dan atlet di Sukan Olimpik 1992.
Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah bagi wanita-wanita yang terlibat.
Merce Valls, ibu pendiam kepada tiga orang anak yang menyertai projek itu berkata, pada mulanya dia takut untuk menjadi orang popular.
Ruang galeri
“Pada awalnya saya takut dan saya tidak mahu menunjukkan muka dalam foto tetapi tiba-tiba ia berubah,” katanya.
Dalam foto yang dipaparkan di ruang galeri yang dianjurkan sebuah badan kebajikan untuk mencapai perubahan sosial itu, Valls memandang ke arah kamera dengan tenang untuk menggambarkan dia terima segala peristiwa yang dilaluinya.
“Proses bertemu dengan wanita-wanita lain dan bercakap mengenai pengalaman masing-masing juga adalah katarsis atau kelegaan emosi,” kata wanita berusia 62 tahun yang menggambarkan bahawa bekas suami dia pada awalnya begitu mempesona, namun berubah menjadi seorang pendera.
Ceritanya lagi, setiap tahun suaminya menjadi bertambah ganas sebelum dia bertindak untuk melepaskan diri daripada cengkaman lelaki tersebut.
“Akan ada masanya ketika didera anda tidak tahu apa yang sedang berlaku pada diri sendiri.
“Anda berasakan seperti terpisah daripada realiti,” kata Valls yang nampak terganggu dengan memorinya itu.
Seorang lagi peserta, Lia Mestre berkata, dia berasa lega kerana dapat berbual dengan wanita-wanita lain selepas berasa cukup tersisih ketika bersama bekas suaminya.
“Anda menjadi terasing daripada keluarga dan rakan-rakan tetapi sekarang anda boleh mulakan hidup normal,” ujar Mestre yang kelihatan tersenyum dalam fotonya umpama mengharapkan permulaan hidup baharu.











