Nostalgia, kualiti lagu raya klasik - Utusan Malaysia

Nostalgia, kualiti lagu raya klasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selain menyediakan kelengkapan raya atau menanti enaknya juadah sepanjang Syawal, satu hal yang juga seperti menjadi kewajipan setiap kali musim perayaan tiba adalah mendengar dendangan lagu raya. Emosi gembira Syawal pastinya tidak lengkap tanpa gema dendangan lagu-lagu raya berkumandang di corong-corong radio bermula dua minggu terakhir Ramadan lagi.

Mengimbau sejarah, lagu raya pertama dirakamkan di negara ini adalah pada tahun 1955 yang dinyanyikan oleh Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma berjudul Selamat Hari Raya.

Hakikatnya, lagu raya menjadi perkara utama dalam mempengaruhi perasaan teruja seseorang untuk menyambut lebaran. Sama ada ia didendangkan dalam bentuk rancak atau syahdu, lagu-lagu raya selalu memberi impak tersendiri termasuk menggamit rasa untuk pulang ke kampung halaman bagi bertemu keluarga atau kerinduan terhadap insan yang telah meninggal dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jika mahu dikutip setiap judul lagu raya lama yang berbekas di hati, terlalu banyak untuk disenaraikan. Cukuplah sekadar menyentuh beberapa dendangan popular seperti lagu raya yang tidak pernah terlepas dimainkan setiap kali musim perayaan tiba iaitu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman Arshad. Lagu Dendang Perantau (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee), Nostalgia Aidilfitri (Allahyarham Datuk Sharifah Aini), Pulang Di Hari Raya (Noorkumalasari), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Selamat Hari Raya (Allahyarham Datuk Ahmad Jais), Suatu Hari Di Hari Raya (Datuk M. Nasir) dan Sesuci Lebaran (Datuk Seri Siti Nurhaliza) juga antara barisan lagu yang begitu akrab dalam pendengaran peminat.

Sejak dahulu, lagu-lagu lama tetap menjadi pilihan pendengar berbanding yang baharu meskipun terdapat banyak usaha daripada artis generasi kini mahu menembusi tembok malar segar dengan sesuatu yang lebih kontemporari.

Namun ternyata, jiwa pendengar kuat terikat kepada irama dan melodi lagu lama kerana elemen tradisional dan kemelayuan yang sarat dalam semua karya-karya berkenaan.

Tidak dinafikan, setiap lagu raya lama mempunyai nostalgia tersendiri buat seseorang kerana ia begitu dekat dengan kenangan semasa membesar.

Penyanyi veteran Hail Amir yang popular menerusi lagu Seloka Hari Raya bersama Uji Rashid mengakui populariti dan nilai relevan lagu-lagu raya lama pada masa kini dipengaruhi oleh banyak faktor terutama dari segi penghayatan, susunan dan melodi yang baik.

“Kalau ditanya mengapa lagu raya lama sentiasa melekat dalam jiwa peminat sehingga ke hari ini, selain ciptaan muzik yang mendayu-dayu, ia juga bergantung kepada cara seseorang penyanyi itu menyampaikannya.

“Ia perlu lembut sebab kita mahu sentuh jiwa orang untuk merasai suasana hari raya walaupun lagu tersebut bersifat rancak atau perlahan. Sebab itu saya berani kata, jarang sekali kita dapat lihat penyanyi boleh menyanyikan lagu raya dengan baik,” ujarnya yang mengakui keserasian bersama Uji Rashid pada zaman itu turut menjadi penyumbang besar kepada populariti lagu tersebut.

Namun di sebalik populariti itu, ada banyak kenangan manis dan melucukan yang dilalui Hail ketika merakamkan lagu tersebut di Singapura sekitar tahun 1970-an.

“Pada zaman dahulu, lagu raya kebanyakannya dirakamkan di Singapura termasuklah lagu Seloka Hari Raya yang mendapat sentuhan komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab.

“Antara pengalaman yang tidak boleh saya lupakan ketika menjayakan proses rakaman adalah ketika dimarahi oleh Ahmad Nawab. Walaupun beliau nampak lembut tetapi sebenarnya sangat garang,” ujarnya sambil ketawa mengimbau kenangan lama.

Lagu lama gamit kenangan – Aman Shah

Bagi penyanyi dan pelakon popular era 1980-an, Aman Shah pula berpendapat lagu-lagu lama merupakan karya yang mampu menggamit kenangan bagi pendengar.

Meskipun ia hanya diputarkan setahun sekali, namun tidak dinafikan bahawa semua lagu lama mempunyai kekuatan dari segi seni kata yang mampu menarik jiwa pendengar untuk menghayatinya.

“Bagi saya, hari raya boleh diibaratkan waktu untuk menggamit kenangan terutama tatkala berkumpul dan beraya bersama ahli keluarga yang peluangnya hadir cuma setahun sekali.

“Jadi apabila kita mendengar lagu raya, ia secara langsung mengimbas kenangan manis dan silaturahim yang terjalin. Sebab itu lagu lama sebenarnya diilhamkan daripada kenangan bersama orang yang tersayang,” katanya yang kini berusia 64 tahun.

Ditanya tentang penerimaan lagu raya baharu yang dilihat kurang mendapat sambutan daripada pendengar, pelantun lagu Adikku Pandai Menari itu ada pandangan tersendiri.

Baginya, lagu baharu zaman sekarang kurang menangkap kerana lebih menjurus ke arah melodi dan lirik yang gembira, sekali gus membuatkan ia tidak kena dengan elemen nostalgik sambutan hari raya.

“Lagu raya zaman sekarang lebih cenderung terhadap unsur gembira semata-mata. Penghasilannya kurang menekankan lirik yang menyentap jiwa sehingga mampu membuatkan orang rasa tersentuh dan menangis. Ia berbeza dengan penghasilan lagu lama yang kebanyakannya memang berjaya menyentuh emosi,” ujarnya.

Lagu baharu juga ada nilai – Dayangku Intan

Lain pula pandangan daripada penyanyi Dayangku Intan yang popular menerusi lagu Senandung Hari Raya Untukmu berkenaan penerimaan lagu baharu pada zaman sekarang.

Baginya, segala sesuatu yang terjadi berpaksi kepada putaran masa termasuklah lagu-lagu raya yang akan mengalami perubahan dari zaman ke zaman.

“Kita berbalik pada zaman saya menghasilkan lagu raya dahulu. Biarpun pada waktu itu lagu raya saya dan rakan-rakan seangkatan seperti Datuk DJ Dave masih mengekalkan unsur kemelayuan, tetapi kami tetap berbalik kepada lagu raya lama daripada Saloma dan P. Ramlee.

“Jadi sama sahaja situasinya pada waktu sekarang. Mungkin penyanyi zaman kini mencipta lagu baharu, tetapi ia akan diterima untuk generasi akan datang meskipun buat masa ini ia agak sukar menembusi tembok populariti lagu-lagu raya lama,” jelasnya.

Tambah pemilik nama sebenar Tengku Intan Tengku Abd. Hamid itu lagi, ia bukan sekadar tentang putaran zaman yang menyebabkan lagu baharu kurang mendapat sambutan.

Katanya: “Untuk sesuatu karya itu diterima ia perlu mendapat sokongan daripada banyak pihak terutama stesen radio untuk memperkenalkannya kepada umum sekali gus membuatkan pendengar serasi dengan lagu tersebut.”

Menelusuri peredaran zaman, hakikatnya lagu-lagu raya lama yang sarat dengan ciri klasik serta kemelayuan masih menjadi selera dan pilihan peminat tatkala menjelang sambutan hari raya setiap tahun berbanding karya zaman moden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini