WASHINGTON 20 Jun – Starbucks Corp. yang meramalkan pertumbuhan jualan yang perlahan dalam tempoh suku tahun ini merancang menutup kira-kira 150 cawangan di negara ini pada tahun depan untuk meningkatkan prestasi syarikat.
Rangkaian kedai kopi terbesar di dunia itu menghadapi saingan daripada rangkaian kedai kopi mewah dan rangkaian kedai makanan segera berharga murah seperti McDonald Corp dan Dunkin’ Donuts.
Syarikat itu gagal mencapai jangkaan jualan bagi kedai yang sama di AS dalam tempoh suku kelima dan keenam.
Pihak syarikat juga menjangkakan pertumbuhan kedai baharu yang lebih rendah di AS bagi tahun fiskal 2019 dan akan mengubah segera pendekatan berdasarkan pilihan pengguna.
Syarikat itu akan memperkenalkan minuman sejuk seperti jus mangga dan buah naga dan menumpukan peningkatan gaya kehidupan dan kesihatan yang lebih sihat.
Pengerusi Eksekutif yang juga pengasas bersama Starbucks, Howard Schultz pada awal bulan ini memaklumkan akan meletak jawatan bermula 26 Jun ini.
Pada April lalu, beliau bekerjasama dengan Ketua Eksekutif, Kevin Johnson untuk mengurangkan kerosakan terhadap imej syarikat selepas isu perkauman yang menyebabkan dua lelaki berkulit hitam ditahan di kafe milik mereka di Philadelphia.
Starbucks menjangkakan, jualan di kedai-kedai miliknya di seluruh dunia akan meningkat sebanyak satu peratus dalam tempoh suku ketiga iaitu di bawah tiga peratus jangkaan peningkatan oleh para analisis, lapor Thomson Reuters. – Reuters











