JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang pemandu bas ekspres selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam pemeriksaan di Terminal Bas Pontian dekat Pontian malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan Razak Md. Said berkata, lelaki itu antara 411 pemandu bas dan kenderaan persendirian yang diperiksa menerusi Op Selamat 13 dan Op Khas Bas di sembilan lokasi berasingan di negeri ini malam tadi.
“Dalam operasi bersepadu yang bermula pukul 8.30 malam itu, sebanyak 377 kenderaan diperiksa melibatkan 125 bas dan 252 lain-lain kenderaan.
“Pemandu bas ekpres yang ditahan itu merupakan lelaki tempatan berumur 26 tahun dan dia akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Razak berkata, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 314 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan termasuk memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat manakala lima motosikal turut disita. – Bernama











