SHAH ALAM 20 Jun – Istana Selangor hari ini menjelaskan, pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Amirudin Shari sebagai Menteri Besar baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang dipertikaikan oleh wakil rakyat PKR sendiri, dibuat bersandarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Selangor Royal Office, pihak istana menjelaskan keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada pelantikan Amirudin juga adalah berdasarkan kuasa budi bicara selepas baginda sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Mohamed Azmin sendiri.
Kenyataan sama juga memaklumkan, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah menghantar surat kepada Sultan Selangor pada 7 Jun lalu dengan mencalonkan tiga nama termasuk Amirudin, untuk diperkenan sebagai calon pilihan bagi mengisi kekosongan jawatan Menteri Besar Selangor.
Berikut kenyataan penuh istana Selangor:
Sultan Sharafuddin telah memberi perkenan kepada pelantikan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor dengan mengikuti segala peruntukan yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 serta amalan yang biasa dilakukan di dalam pelantikan seorang Menteri Besar di negeri Selangor.
Pada 7 Jun 2018, tuanku telah menerima surat daripada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mencalonkan tiga ADUN untuk mendapat perkenan tuanku sebagai calon Menteri Besar Selangor.
Di dalam surat itu juga, Wan Azizah memohon perkenan tuanku bagi menerima menghadap mana-mana calon yang pada pandangan tuanku layak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi tujuan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.
Surat bertarikh 7 Jun 2018 oleh Presiden PKR ini juga secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis oleh ketua-ketua parti politik negeri Selangor kepada tuanku.
Setelah diteliti dan mendapatkan pandangan daripada Mohamed Azmin, maka tuanku telah berkenan dengan pelantikan salah seorang daripada calon yang disenaraikan iaitu Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal ke-14.
Sebagai rujukan, Sultan Selangor mempunyai kuasa budi bicara dalam pelantikan seorang Menteri Besar.
Kuasa itu diperuntukkan sepertimana Artikel 51 dan Artikel 53, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Untuk rekod tuanku sentiasa mengambil maklum pra syarat di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor yang mana tuanku hendaklah melantik seorang ADUN sebagai Menteri Besar yang menurut pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti dan syarat kedua, seorang Menteri Besar yang dilantik hendaklah berketurunan Melayu dan beragama Islam.
Artikel 51 dan Artikel 53 dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959, adalah berkaitan.
Di samping itu, ADUN Ijok telah juga mempersoalkan pelantikan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor pada 11 Mei 2018 lalu yang dikatakan juga tidak mendapat restu daripada parti Pakatan Harapan.
Berikut diperjelaskan fakta berkaitan pelantikan Mohamed Azmin.

Sebelum pelantikan Mohamed Azmin, Ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan iaitu Presiden PKR, Presiden Amanah, Presiden PPBM dan Setiausaha Agung DAP telah menghantar surat kepada tuanku mencalonkan Mohamed Azmin sebagai calon Menteri Besar Selangor.
Pencalonan ini dibuat bersandarkan fakta bahawa Mohamed Azmin telah menjadi Menteri Besar sebelum ini dan telah menjalankan tugas serta tanggungjawab beliau dengan penuh dedikasi selain telah membawa Pakatan Harapan memenangi kerusi yang lebih besar semasa pilihan raya yang lalu.
Oleh itu adalah tidak bertepatan untuk ADUN Ijok mengatakan bahawa beliau dicalonkan bagi memegang jawatan Menteri Besar Selangor.
Pihak istana Selangor sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang di dalam apa-apa tindakan dan tidak sama sekali campur tangan di dalam isu-isu berkaitan politik. – UTUSAN ONLINE











